
KUALA TERENGGANU: Perikatan Nasional (PN) mengambil maklum dan sedang mengikuti rapat perkembangan politik di Negeri Sembilan susulan dikatakan wujud sokongan melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) gabungan itu terhadap usaha pembentukan kerajaan baharu bersama Barisan Nasional (BN).
Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, situasi yang berlaku di negeri berkenaan bukan sahaja dalam pengetahuan beliau, malah turut diketahui umum dan pihak berkaitan.
“Ya, apa yang berlaku di Negeri Sembilan itu daripada awal sampai sekarang memang saya rasa bukan dalam makluman saya sahaja, tetapi juga makluman semua pihak. Kita sedang perhatikan perkembangan dan langkah seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Sukan Negeri Terengganu, di sini, semalam.
Mengulas berhubung wujud pergeseran dalaman atau perubahan sokongan dalam kalangan ADUN PN di negeri itu, beliau berkata, PN tidak melihat isu berkenaan sebagai sesuatu yang luar daripada konteks gabungan.
“Kita tidak ada apa-apa perbezaan dengan apa yang berlaku di Negeri Sembilan itu. Kita tunggu dan lihat langkah seterusnya,” ujarnya.
Ditanya kemungkinan perkembangan di Negeri Sembilan menjadi permulaan kepada kerjasama lebih luas antara PN dan BN, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan dalam politik.
“Segala-gala boleh berlaku dalam politik, jadi kita tunggu dan lihatlah apa yang akan berlaku seterusnya,” jelasnya.
Mengulas pendirian parti terhadap kemelut politik yang berlaku, beliau berkata, semua perkembangan perlu diteliti berdasarkan peruntukan undang-undang yang termaktub, termasuk undang-undang tubuh negeri serta peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Apa jua kemelut yang berlaku bukan sahaja di Negeri Sembilan, perlu diteliti dari aspek undang-undang negeri dan Perlembagaan. Daripada situ, politik akan memainkan peranan,” katanya.
Terdahulu pada 27 April lalu, Umno Negeri Sembilan menarik balik sokongannya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun susulan krisis yang melibatkan Institusi Adat dan Perlembagaan di negeri itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara oleh semua 14 ADUN kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan Aminuddin. – HARAKAHDAILY 28/4/2026











