
TUMPAT: Lebih 8,000 pelatih telah berdaftar dengan Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) sejak tahun 2005, manakala lebih 4,500 daripadanya berjaya menamatkan pengajian dan bergraduasi.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Dato’ Rohani Ibrahim berkata, pencapaian tersebut membuktikan sambutan yang amat menggalakkan terhadap program pembangunan kemahiran wanita yang digerakkan kerajaan negeri.
Menurut beliau, rekod sepanjang tempoh 21 tahun itu menunjukkan PPWK terus kekal relevan dalam melahirkan tenaga mahir dan usahawan wanita di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Sejak tahun 2005 hingga 2026, lebih 8,000 pelatih telah berdaftar di bawah PPWK.
“Daripada jumlah itu, lebih 4,500 pelatih telah berjaya bergraduasi,” katanya ketika merasmikan Program Sehari Bersama Pelatih PPWK 2026 di sini, semalam.
Beliau menjelaskan, angka tersebut menjadi bukti jelas bahawa bidang kemahiran seperti jahitan, sulaman dan kerja tangan terus mendapat tempat dalam kalangan wanita untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga.
“Ramai alumni PPWK kini berjaya menjana pendapatan sendiri hasil kemahiran yang dipelajari sepanjang tempoh latihan,” ujarnya.
Beliau berkata, kejayaan itu juga menjadi pemangkin kepada pelatih baharu g meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi termasuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
“Kerajaan Negeri komited untuk terus memperkasa program latihan kemahiran wanita sebagai salah satu agenda pembangunan komuniti dan ekonomi rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/4/2026











