‘PH langgar prinsip, mandat rakyat makan diri sendiri’

‘Setidak-tidaknya Umno N9 buat keputusan secara en bloc’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari mengingatkan bahawa, satu demi satu prinsip yang dilanggar Pakatan Harapan (PH) akan berbalik implikasinya kepada gabungan itu.

Beliau berkata, perkara itu termasuk isu peruntukan Ahli Parlimen yang menurutnya akan turut dituntut oleh PH sekiranya menjadi pembangkang pada masa akan datang.

- Advertisement -

“Waktu itu, kita sudah sediakan jawapannya,” tegas beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas dalam media sosial miliknya.

Mengulas lanjut, beliau merujuk kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang dilaporkan menghuraikan mengenai mandat pengundi dalam satu sidang media semalam.

Anthony dilaporkan media tempatan berkata, PH dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan memperoleh undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 atas mandat pengundi susulan kempen bersama kedua-dua gabungan itu.

Sehubungan itu, Ahmad Fadhli mempersoalkan sama ada tindakan enam Ahli Parlimen BERSATU yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri ke-10 (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim melanggar mandat pengundi.

“Jadi apabila Umno Negeri Sembilan tarik sokongan dari Menteri Besar (daripada) PKR, (Anthony Loke kata) ia melanggar mandat rakyat.

“Saya nak tanya, ketika enam MP BERSATU isytihar sokong PMX, ia langgar mandat pengundi tak?” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan sokongan DAP terhadap keputusan Speaker yang tidak mengisytiharkan kekosongan enam kerusi berkenaan, yang menurutnya jelas melanggar mandat pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Setidak-tidaknya Umno Negeri Sembilan buat keputusan secara ‘en bloc’, bukan melompat secara peribadi seperti Ahli Parlimen BERSATU,” ulas beliau.

Menurut Ahmad Fadhli, tiada halangan seperti Akta Anti Lompat Parti yang mengekang keputusan Umno Negeri Sembilan, berbanding akta sama yang dipersetujui semua Ahli Parlimen sebelum PRU15 tetapi kemudiannya dilanggar oleh enam Ahli Parlimen BERSATU.

“Apapun, tak lupa ucapan Selamat Hari Lahir kepada Anthony Loke,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/4/2026

- Advertisement -