
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia menegaskan bahawa krisis sistem kesihatan negara ketika ini merupakan bukti jelas kegagalan kerajaan semasa dalam mengurus tadbir sektor kritikal berkenaan.
Ketua DMPM, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, situasi yang berlaku bukan lagi bersifat isu teknikal atau kelemahan sementara, sebaliknya mencerminkan kegagalan dasar dan kepimpinan yang telah berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian menyeluruh.
Menurutnya, sistem kesihatan negara ketika ini banyak bergantung kepada tenaga kerja yang majoritinya terdiri daripada wanita, dengan kira-kira 95 peratus jururawat dalam kalangan golongan itu, sekali gus menjadikan mereka tulang belakang utama perkhidmatan kesihatan negara.
“Malaysia dianggarkan mempunyai lebih 120,000 jururawat yang setiap hari berkhidmat tanpa mengira masa, tekanan dan risiko. Mereka bukan sekadar petugas kesihatan, tetapi penjaga nyawa yang memastikan sistem terus berfungsi.
“Dalam masa sama, sekitar 60 hingga 70 peratus rakyat Malaysia bergantung kepada fasiliti kesihatan awam untuk mendapatkan rawatan, sekali gus menjadikan sebarang kelemahan dalam sistem tersebut memberi kesan langsung kepada sebahagian besar rakyat,” katanya.
Tambah beliau lagi, negara juga mencatatkan kira-kira 400,000 kelahiran setiap tahun, dengan majoritinya berlaku di hospital kerajaan, menunjukkan besarnya tanggungjawab yang dipikul sistem kesihatan awam khususnya dalam aspek penjagaan ibu dan anak.
“Ini bermakna wanita bukan sahaja menggerakkan sistem, malah merupakan golongan yang paling bergantung kepada sistem yang kini berdepan pelbagai kelemahan,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, DMPM telah menyenaraikan beberapa kegagalan utama kerajaan, termasuk kegagalan menyelaras dasar tenaga kerja kesihatan sehingga menyebabkan doktor dan graduan terperangkap dalam sistem yang tidak tersusun.
“Selain itu, kerajaan turut dilaporkan gagal mengekang penghijrahan doktor dan pakar, menyebabkan hospital awam terus kehilangan tenaga mahir, serta gagal mengurus kapasiti hospital sehingga pesakit terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan rawatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kebajikan petugas kesihatan, khususnya wanita, tidak diberi perhatian sewajarnya walaupun berdepan tekanan kerja yang tinggi dan berterusan.
“Akibat kelemahan tersebut, pesakit dilaporkan terpaksa menunggu lebih lama, petugas kesihatan semakin terbeban, dan sistem kesihatan awam berada dalam keadaan semakin lemah,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, kegagalan ini memberi kesan paling besar terhadap wanita, sama ada sebagai pesakit mahupun petugas kesihatan, sekali gus menjadikan krisis ini sebagai krisis berganda terhadap wanita dan institusi keluarga, yang akhirnya memberi kesan kepada generasi akan datang.
Sehubungan itu, beliau berkata DMPM mengemukakan beberapa tuntutan kepada kerajaan, termasuk tindakan segera dan menyeluruh, pelaksanaan polisi khusus bagi melindungi petugas kesihatan wanita, serta keutamaan kepada perkhidmatan ibu dan anak.
“Turut dituntut ialah pelan jelas bagi menghentikan penghijrahan tenaga kesihatan ke luar negara bagi memastikan kelangsungan sistem kesihatan awam negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ustazah Nuridah menegaskan bahawa tekanan terhadap sistem kesihatan awam bukan lagi isu kecil, sebaliknya realiti yang dihadapi rakyat setiap hari, dengan wanita sebagai golongan majoriti di barisan hadapan.
“Krisis ini bukan berlaku secara tiba-tiba, tetapi hasil kegagalan berterusan kerajaan dalam mengurus sistem kesihatan negara. Rakyat tidak boleh terus menjadi mangsa kepada kelemahan ini.
“Jika kerajaan terus gagal bertindak, kos sebenar akan ditanggung oleh wanita, keluarga dan generasi masa hadapan negara,” katanya yang juga bekas Ahli Dewan Negara.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu kekurangan doktor tetap, serta lambakan pegawai perubatan kontrak turut menjadi perhatian, sehingga mencetuskan beberapa siri bantahan seperti gerakan Hartal Doktor Kontrak yang menuntut pembaharuan sistem lantikan dan kebajikan petugas kesihatan.
Dalam masa sama, laporan berkaitan penghijrahan doktor dan pakar ke luar negara terus meningkat berikutan faktor beban kerja, peluang kerjaya dan imbuhan yang lebih baik, sekali gus menjejaskan kapasiti hospital awam.
Tekanan terhadap fasiliti kesihatan turut ketara apabila hospital kerajaan dilaporkan beroperasi melebihi kapasiti, menyebabkan tempoh menunggu rawatan menjadi semakin panjang, khususnya bagi rawatan pakar dan pembedahan elektif.– HARAKAHDAILY 28/4/2026











