
KULIM-BANDAR BAHARU: Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dan Maahad Tahfiz Sains Darul Aman (MTSD) merupakan dua ‘buah hati’ kesayangan Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali mengimbau nostalgia betapa dua institusi itu sangat dekat dan bermakna kepada diri Almarhum.
Beliau antara menyaksikan sendiri secara langsung bagaimana kesungguhan Ustaz Azizan itu merealisasikan usaha memartabatkan pendidikan berteras Islam ketika menerajui Kedah selaku Menteri Besar ke-10 tahun 2008 hingga 2013 dahulu.
“Arwah Ustaz Azizan nak jadikan Kuala Ketil itu Bandar Universiti. Arwah juga cukup bersungguh-sungguh mahu mewujudkan sebuah pusat tahfiz melahirkan golongan profesional yang mempunyai Al-Quran di dada.
“Dia (arwah) kata, dia nak anak-anak Kedah jadi jurutera tetapi penghafal Al-Quran, jadi doktor atau sebagainya (profesional), tapi ada Al-Quran di dada,” jelas Siti Ashah ketika berucap pada Majlis Idul Ilmi MTSD Kali Ke-12, di sini baru-baru ini.
Ketika itu beliau adalah sebagai Ahli Majlis Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Almarhum, selain juga sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri, sedang Ustaz Azizan juga adalah Pesuruhjaya PAS Kedah.
Cerita beliau, UniSHAMS yang bermula sebagai Institut Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (INSANIAH), kemudian menjadi Kolej Universiti INSANIAH (KUIN), asalnya menyewa bangunan di Mergong, Alor Setar.
Namun kata Siti Ashah, kapasiti di situ dan program pengajian ditawarkan agak terhad untuk menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat serta penerokaan perkembangan ilmu juga kian pesat ketika itu.
Maka Almarhum ujarnya, bertekad membangunkan kawasan kampus sendiri, bermula sebidang tanah 300 ekar di Sik, namun tidak dipersetujui Ustaz Azizan kerana di luar syarat, sebelum mendapat tapak seluas 830 ekar di Kuala Ketil.
“Bukan sahaja nak jadikan Kuala Ketil sebagai Bandar Universiti, tetapi matlamatnya juga tingkatkan ekonomi orang Melayu di Kedah terutama sekitar kawasan kampus itu. Lagipun arwah kata di Kedah Tengah belum ada pembangunan yang hebat,” ceritanya lagi.
Pada 29 Januari 2013, kampus tetap ‘buah hati’ Almarhum Ustaz Azizan akhirnya berjaya dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah.
“Kata arwah, “Alhamdulillah, kalau _ana_ (saya) pejam matapun, pejam rapatlah. Ana dah dapat buat Kampus Induk. Depan ni, tapak untuk dibuat masjid,” cerita Siti Ashah ketika turun ke lapangan di tapak pembinaan ketika itu.
Menurutnya, Almarhum sentiasa meluangkan masa untuk datang menjengah melihat sendiri perkembangan pembinaan kampus induk itu, malah sentiasa membawa tetamu yang berkunjung ke Kedah melihat ikon tersebut,
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas itu memaklumkan masjid impian Almarhum yang ingin dibangunkan di dalam kampus itu kini akan direalisasikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Satu lagi ‘buah hati’ Almarhum cerita Siti Ashah, adalah MTSD yang kini telah hampir 14 tahun beroperasi dengan memulakan sesi pengajian pada tahun 2012 di mana Almarhum bermatlamat melahirkan hufaz profesional.
Bermula 50 pelajar iaitu 25 lelaki dan 25 perempuan bagi setiap tahun sesi pengambilan, MTSD kini katanya akan membuat pengambilan seramai 100 pelajar bermula 2026, berikutan bangunan baharu telah disiapkan.
Dato’ Siti Ashah bagaimanapun turut mengimbau sejarah di mana cerita beliau, tapak asal untuk MTSD adalah di Pulau Tuba, Langkawi kerana Almarhum berpendapat, para penghafal Al-Quran tidak boleh belajar dan melihat benda ‘pelik-pelik’.
“Tapak cadangan di Pulau Tuba tu sudahpun dilancarkan majlis pecah tanah, peruntukan pun dah diluluskan sebanyak RM13 juta. Arwah Ustaz Azizan kata, bila di Pulau Tuba, budak-budak ni, sambil hafal Quran, sambil tengok laut.
“Selain itu dia (Almarhum) nak bangunkan chalet di Pulau Tuba untuk ibu bapa serta waris pelajar menginap bila ke sana. Secara tak langsung majukan Pulau Tuba. Tapi hasrat itu tak kesampaian. Jadilah MTSD ni di Kulim,” ulas beliau.
Difahamkan, peruntukan dan cadangan pembinaan itu telah diluluskan di Pulau Tuba, namun pimpinan kerajaan negeri selepas itu bertindak tidak meneruskan pembinaan tersebut, sebaliknya MTSD diberi beroperasi di lokasi ketika ini.
Kini kata Siti Ashah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas, generasi awal lepasan MTSD telah berumur hampir 30 tahun dan kemungkinan telah menjawat jawatan yang baik serta menjadi teknorat berjaya.
Justeru beliau berharap para lepasan MTSD mahupun UniSHAMS, wajar menjadi pulangan terbaik khususnya kepada negeri Kedah, seterusnya membantu menjadikan ‘The Greater Kedah’ sebagai kenyataan. – HARAKAHDAILY 26/4/2026












