PMX mungkiri janji royalti dibuat oleh Anwar Ibrahim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim disifatkan telah memungkiri janji manifesto dan pendirian konsistennya sebelum ini khususnya ketika selaku Ketua Pembangkang, berhubung isu penyaluran royalti petroleum secara terus kepada kerajaan negeri.

- Advertisement -

Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, dakwaan bahawa pembangkang mempolitikkan isu tersebut sebagai satu ironi memandangkan pimpinan Kerajaan Madani yang sebenarnya gagal melaksanakan janji mereka sendiri.

Beliau menegaskan, perjanjian antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan kerajaan negeri pada tahun 1975 di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Akta 144) secara jelas mewajibkan pembayaran tunai dibuat terus kepada kerajaan negeri.

“Dato’ Seri Anwar menegaskan kerajaan tidak perlu mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji pemberian royalti minyak, sebaliknya Putrajaya perlu memberikan royalti secara tunai kepada negeri-negeri terlibat berdasarkan peruntukan dalam Akta Petroleum 1974.

“Berdasarkan akta berkenaan cukup jelas kerajaan tidak boleh menafikan hak rakyat di Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak berhubung royalti minyak.

“Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak diharapkan untuk tidak berlengah dan berdalih, sebaliknya menyegerakan pemberian royalti tersebut,” kata Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat itu memetik kenyataan lama Anwar.

Isu royalti petroleum ini kembali hangat selepas Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim mengeluarkan kenyataan supaya isu berkenaan tidak dijadikan modal politik murahan bagi meraih sokongan rakyat.

Sebelum Pilihan Raya Umum (PRU15), Pakatan Harapan (PH) khususnya Anwar Ibrahim sendiri, sering melaungkan janji untuk meningkatkan kadar royalti kepada 20 peratus bagi negeri pengeluar minyak.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Terengganu baru-baru ini mendedahkan bahawa sejak tahun 2023, sebanyak RM2.25 bilion dana royalti negeri itu telah disekat atau tidak disalurkan secara terus ke akaun kerajaan negeri.

Sebaliknya Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), pembayaran itu perlu melalui pelbagai prosedur baharu yang diperkenalkan oleh pentadbiran Pusat.

Dr Nurul Islam berkata, perubahan pendirian Anwar selepas memegang kuasa amat mengecewakan, terutama apabila janji pemberian royalti 20 peratus yang ditandatangani beliau dalam plak tuntutan dahulu kini seolah-olah dilupakan.

“Maksudnya apa? PETRONAS kena bayar terus kepada Kerajaan Negeri 5 peratus bayaran royalti setiap tahun. Apabila Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar telah menjadi Perdana Menteri Malaysia ke 10 atau PMX, maka segala janji yang pernah ditaburkan berubah 180 darjah.

“Janji bayaran royalti tersebut terus disekat. Pelbagai prosedur diperkenalkan untuk menyusahkan Kerajaan Negeri PN. Sebagai contoh, YAB Dato Seri Ir Dr Ahmad Samsuri sebut, sejak 2023, sebanyak RM2.25 Billion duit royalti Negeri Terengganu telah disekat,” jelasnya.

Beliau turut memperincikan implikasi besar sekatan dana tersebut terhadap kesejahteraan rakyat Terengganu, termasuk potensi pembinaan lebih 34,000 unit rumah mampu milik, penajaan pelajar universiti, serta pembiayaan untuk pesakit dialisis.

“Melaksanakan janji pilihan raya bukan sekadar tanggungjawab, ia adalah cerminan sebenar integriti seorang pemimpin. Saudara (Kamil) anak muda, jangan main politik lama. Politik lapuk. Anak muda tak suka.

“For starter, cuba ingatkan boss anda PMX mengenai semua janji, ucapan dan manifesto yang dia pernah laungkan ketika menjadi Ketua Pembangkang,” tegas beliau lagi.

Sehubungan itu, PAS mendesak agar Kerajaan Madani segera memulangkan hak royalti rakyat Terengganu mengikut peruntukan undang-undang sedia ada tanpa membezakan ideologi politik antara kerajaan negeri dan Pusat. – HARAKAHDAILY 26/4/2026

- Advertisement -