
Soalan:
Saya iingin bertanya tentang haji adakah dibolehkan orang perempuan melakukan haji badal untuk orang lelaki.
Jawapan:
Harus hukumnya orang perempuan melakukan haji badal untuk orang lelaki sebagaimana diharuskan orang lelaki melakukan haji badal untuk orang perempuan sama ada orang yang dibuatkan haji untuknya itu mahramnya atau bukan.
Hanya disyaratkan bagi orang yang mahu melakukan haji badal itu mestilah terlebih dulu telah mengerjakan haji.
Telah diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. katanya:
جَاءَتْ امْرَأَةٌ مِنْ خَثْعَمَ فَقَالَتْ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ فِي الْحَجِّ أَدْرَكَتْ أَبِي شَيْخًا كَبِيرًا لا يَثْبُتُ عَلَى الرَّاحِلَةِ ،أَفَأَحُجُّ عَنْهُ ؟ قَالَ : نَعَمْ ، وَذَلِكَ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ
Ertinya: “Seorang wanita telah datang dari tempat bernama Khas’am lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sungguhnya ibadah haji itu difardukan oleh Allah ke atas hamba-Nya. Aku dapati bahawa bapaku telah tersangat tua yang tidak mampu lagi duduk di atas kenderaan. Apakah boleh aku hajikan untuknya? Jawap Rasulullah sollallahu alaihi wasallam: Ya boleh. Yang demikian itu berlaku pada tahun haji wada’.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Berkata Imam Badaruddin Al-‘Aini:
وَفِيه: جَوَاز حج الْمَرْأَة عَن الرجل
Ertinya: “Dan pada hadis ini menjadi dalil bagi harus orang perempuan menghajikan orang lelaki.” (Kitab Umdah Al-Qari Syarah Sahih Al-Bukhari)
Dan berkata Imam Ibnu Al-Qudamah:
“يَجُوزُ أَنْ يَنُوبَ الرَّجُلُ عَنْ الرَّجُلِ وَالْمَرْأَةِ , وَالْمَرْأَةُ عَنْ الرَّجُلِ وَالْمَرْأَةِ , فِي الْحَجِّ , فِي قَوْلِ عَامَّةِ أَهْلِ الْعِلْمِ
Ertinya: “Harus orang lelaki membuat haji ganti untuk lelaki dan untuk perempuan. Dan harus pula orang perempuan membuat haji ganti untuk lelaki dan perempuan pada pendapat kebanyakan ulamak.” (Kitab Al-Mughni)
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 25/4/2026











