
KUALA LUMPUR: Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) menyifatkan Perdana Menteri dan Kerajaan Madani sebagai pihak yang mempolitikkan isu bayaran tunai hasil petroleum dengan memperkenalkan kawalan tidak perlu terhadap kerajaan negeri.
Pegawai Eksekutif Strategi TSIS, Mohd Eikhwan M Ali berkata, polemik berkenaan tidak akan wujud sekiranya bayaran tersebut dibuat dua kali setahun kepada kerajaan negeri sebagaimana amalan dilaksanakan semua Perdana Menteri sebelum ini.
Beliau menyifatkan dakwaan pihak pimpinan Kerajaan Madani bahawa mekanisme bayaran tunai itu kekal sama sejak dahulu sebagai satu cubaan untuk mempolitikkan isu, memandangkan terdapat prosedur baharu yang menyukarkan pihak negeri.
“Betul Tuan Kamil Munim. Tidak sepatutnya bayaran tunai hasil petroleum ini dipolitikkan. Sekiranya bayaran ini dibuat dua kali setahun kepada Kerajaan Negeri sebagaimana amalan semua Perdana Menteri sebelum ini, nescaya isu ini bukanlah suatu polemik.
“Masalahnya, PMX dan Kerajaan Madani sebenarnya mempolitikkan isu ini dengan mengenakan kawalan tidak perlu. Kerajaan Negeri disusahkan dengan perlu mengemukakan permohonan atau tuntutan terlebih dahulu dan belum tentu kesemua ini akan diluluskan,” katanya.
Beliau memberi reaksi balas terhadap kenyataan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim yang meminta semua pihak agar tidak menjadikan royalti minyak sebagai modal politik.
Beliau menegaskan bahawa mekanisme pembayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri terlibat adalah kekal sama seperti amalan kerajaan terdahulu.
Pertikaian tercetus apabila kerajaan negeri, khususnya Terengganu dan Kelantan, menyatakan wujud perubahan prosedur di mana memerlukan mereka mengemukakan permohonan bagi setiap peruntukan, berbanding pembayaran terus ke akaun kerajaan negeri secara berkala seperti amalan sebelum ini.
Eikhwan berkata lagi, kenyataan pihak Kerajaan Madani yang mendakwa kaedah berkenaan telah lama dijalankan adalah tidak tepat dan mustahil untuk tidak diketahui oleh pihak pentadbiran persekutuan.
“Jadi, kenyataan tuan bahawa ‘…kaedah ini, memang kaedah yang digunakan sebelum daripada ini, dah lama dijalankan…’ jelas menampakkan tuan juga mempolitikkan isu ini kerana mustahil tuan tidak tahu menahu mengenai mekanisme baharu ini,” jelas beliau.
Mengulas mengenai justifikasi Kerajaan Pusat untuk mengelakkan ketirisan, beliau berpandangan kerajaan negeri adalah pihak yang lebih layak menguruskan dana tersebut bagi mengelakkan pertindihan isu integriti di peringkat Pusat.
“Sekiranya justifikasi utama Kerajaan Madani berbuat demikian adalah untuk ‘…kita nak pastikan tidak ada masalah ketirisan dan kebocoran…’, selayaknya Kerajaan Negeri sendirilah yang menguruskan dana itu.
“Berbanding Kerajaan Madani yang kini terpalit dan terbeban dengan pelbagai isu integriti, rasuah dan salah guna kuasa. Nasihat supaya tidak mempolitikkan isu ini adalah nasihat yang sangat baik; buat tuan, PMX dan Kerajaan Madani,” balas Eikhwan lagi.
Isu royalti atau wang ihsan ini terus menjadi titik perdebatan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang menuntut ketelusan dan penghormatan terhadap perjanjian petroleum ditandatangani pada tahun 1974. – HARAKAHDAILY 25/4/2026











