Mangsa kebakaran Kg Bahagia perlukan sumbangan

- Advertisement -

SANDAKAN: Sebanyak kira-kira 800 ketua isi rumah di Kampung Bahagia di sini dilaporkan masih belum mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan oleh pihak kerajaan selepas insiden kebakaran yang berlaku baru-baru ini.

- Advertisement -

Keadaan tersebut menyebabkan golongan terbabit kini berdepan kesukaran mendapatkan keperluan asas termasuk makanan, minuman dan tempat perlindungan yang selamat.

Pengarah Khidmat Malaysia Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid, memaklumkan mereka berada di lokasi bagi meninjau situasi semasa penduduk kampung yang terjejas.

Menurutnya, sebahagian mangsa terpaksa berteduh di masjid berhampiran, manakala selebihnya mendirikan khemah sementara di kawasan keliling tapak kebakaran.

“Situasi ini bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan, malah meningkatkan risiko kesihatan terutama dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas,” kata Sahar yang meninjau kawasan itu, petang semalam. (Foto atas)

Tambah beliau, keperluan mendesak ketika ini meliputi bekalan makanan, air bersih, pakaian, serta kemudahan penginapan yang lebih teratur dan selamat.

Katanya, sebahagian penduduk Kampung Bahagia telah terjejas bekalan keperluan asas disebabkan tiada jalan perhubungan akibat kebakaran.

Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan penduduk terpaksa bergantung kepada sumber terhad selain menunggu bantuan daripada pelbagai pihak.

“Perjalanan sebelum ini hanya mengambil masa singkat kini menjadi mustahik tanpa laluan alternatif yang selamat. Penduduk terpaksa menunggu air laut surut untuk ke seberang,” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, insiden kebakaran itu bukan sahaja mengakibatkan kerosakan infrastruktur, malah memberi kesan besar terhadap kelangsungan hidup komuniti yang kini terpaksa berdepan pelbagai kekangan harian.

Sehubungan itu, ujarnya pihak Khidmat Malaysia menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tampil menghulurkan bantuan dan sokongan khususnya dalam bentuk sumbangan dana.

Tambahnya, sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban mangsa sekali gus membantu usaha pemulihan kehidupan mereka yang terjejas akibat tragedi berkenaan. – HARAKAHDAILY 25/4/2026

- Advertisement -