Nyawa melayang: Pemandu mabuk ‘kebal’ hukuman?

Pastikan ditangkap, cepat dihukum dan hukuman berat perlu dipenuhi

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Sesuatu hukuman hanya berkesan jika pelaksanaannya memenuhi tiga elemen utama iaitu pasti ditangkap, cepat dihukum dan hukuman berat, selaras dengan Teori Pencegahan dalam prinsip kriminologi serta undang-undang.

Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Dewan Muslimat PAS Negeri Johor berkata demikian susulan kejadian terbaharu kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk di Lebuh raya MEX di sini, semalam.

- Advertisement -

Kejadian tersebut dilaporkan media tempatan membabitkan kenderaan e-hailing dinaiki dua pelancong dari Bangladesh yang dilanggar pemandu mabuk sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan parah.

Pengerusi LUHAM, Bidayatun Solehah Abdullah turut menzahirkan dukacita dan simpati mendalam terhadap keluarga Almarhum Amirul Hafiz Omar yang terkorban dalam insiden tragis melibatkan pemandu mabuk pada 29 Mac lalu.

Sehubungan itu, katanya, LUHAM mencadangkan kerajaan menambah elemen ‘cepat dihukum’ serta memperkasakan elemen ‘hukuman berat’ dalam hukuman sedia ada.

“Antara cadangan ialah pelaksanaan hukuman sebat terhadap pesalah pemandu mabuk seperti di Singapura.

“(Antara cadangannya ialah pelaksanaan) hukuman sebat ke atas pesalah pemandu mabuk seperti yang dilaksanakan di Singapura.

“Dan pelaksanaan ‘diyat’ iaitu bayaran pampasan kepada keluarga mangsa yang merangkumi kos perubatan, kos pengebumian, ganti rugi kehilangan pendapatan seperti yang dilaksanakan di Thailand,” ujarnya dalam kenyataan.

Menurut beliau, cadangan itu bertujuan mencegah lebih banyak kemalangan maut akibat pemandu mabuk, selari dengan tuntutan maqasid syariah dalam memastikan pemeliharaan nyawa masyarakat.

Selain itu, katanya, kerajaan juga boleh memperuntukkan dana khusus bagi menambah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).

Kerajaan juga desaknya, boleh memberikan peruntukan termasuk kos penyelenggaraan CCTV di lebuh raya dan jalan utama setiap daerah bagi meningkatkan keberkesanan kadar tangkapan.

Beliau berkata, pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu lebih aktif mengawal penjualan, pengedaran, akses serta pengambilan alkohol bagi mengelakkan penyalahgunaan yang boleh mengancam keselamatan awam.

“Mekanisme pengawalan seperti mengehadkan lokasi serta waktu penjualan alkohol ini hendaklah diperhalusi dengan segera dan dipercepatkan pelaksanaannya dalam negara bagi mengurangkan risiko kemudaratan kepada masyarakat,” tegas beliau.

Tambah beliau, pemantauan secara aktif dan berkala perlu dipergiat terutama di lokasi berisiko tinggi serta musim perayaan.

“(Selain itu) Satu ‘hotline’ khas juga boleh diwujudkan untuk (orang awam) melaporkan mana-mana kenderaan yang disyaki dipandu dalam keadaan mabuk untuk diperiksa oleh pihak berkuasa,” cadangnya lagi.

Beliau menjelaskan, dalam kerangka maqasid syariah, pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs) adalah antara tujuan utama syariat yang wajib dipelihara oleh semua pihak termasuk individu dan pemerintah.

“Sehubungan itu, sebarang tindakan yang mengancam keselamatan dan nyawa orang awam khasnya memandu dalam keadaan mabuk adalah satu pelanggaran serius terhadap prinsip ini,” ulasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya menyokong pindaan hukuman oleh Kerajaan Malaysia pada 2020 yang menaikkan hukuman kepada pesalah.

Antaranya menurut beliau, menaikkan hukuman kepada penjara lima hingga 15 tahun atau denda maksimum RM100,000 serta boleh digantung atau hilang lesen memandu di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Namun, beliau dalam nada kesal menegaskan bahawa kemalangan akibat pemandu mabuk masih berlaku walaupun penguatkuasaan lebih ketat tersebut telah dilaksanakan.

“Berdasarkan laporan umum PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, faktor yang menyebabkan kemalangan seperti ini terus berlaku adalah berpunca daripada sikap pemandu, kecuaian dan perlanggaran undang-undang,” jelasnya.

Beliau juga menegaskan, kes kemalangan maut akibat pemandu di bawah pengaruh alkohol semakin meningkat dan membimbangkan.

Menurutnya, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan tidak membiarkan individu mabuk dan tidak kompeten memandu kenderaan.

Masyarakat juga, ujar beliau, harus
berani bertindak melaporkan individu yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk bagi mencegah risiko sebelum tragedi berlaku.

“Nyawa manusia tiada galang ganti. Ia adalah amanah yang sangat besar dan tidak ternilai. Justeru, tindakan segera dan menyeluruh perlu diambil agar tragedi seperti ini tidak terus berulang.

“Dewan Muslimat PAS Negeri Johor kekal komited memperjuangkan keselamatan, keadilan dan kesejahteraan rakyat berlandaskan prinsip undang-undang serta nilai Islam,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/4/2026

- Advertisement -