
TANGGA BATU: Umno dan DAP menjalin hubungan dan kerjasama politik disifatkan sebagai sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh rakyat sebelum ini, sekali gus mencetuskan rasa kecewa dan tertipu.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rakyat masih mengingati sumpah pemimpin Umno yang berjanji tidak akan menyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta DAP.
Namun kata beliau, realiti politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan sebaliknya berlaku apabila kedua-dua parti berada bersama membentuk Kerajaan Pusat dan di beberapa negeri.
Dalam perkembangan terkini kedua-dua parti menunjukkan kononnya saling menyerang dan tidak akan bersama, namun rakyat melihat ia sebagai ‘lakonan’ menjelang PRU16 dan akan kembali bersama.
“Dulu kita percaya dengan sumpah tersebut, tetapi akhirnya rakyat melihat perkara yang berbeza berlaku,” katanya ketika menyampaikan ceramah isu semasa di Markas MTD Pantai Kundur, di sini baru-baru ini.
Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, PAS sebelum ini pernah mengajak Umno untuk bekerjasama demi penyatuan Melayu Islam, khususnya ketika negara berdepan krisis COVID-19.
Menurutnya, ketika tempoh tersebut, gabungan parti Melayu Islam berjaya mentadbir negara dalam keadaan sukar serta menyalurkan bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik.
“Waktu itu kita berdepan krisis besar, tetapi kita mampu mengurus dan membantu rakyat, termasuk menghantar bekalan makanan ke rumah-rumah,” ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang turut mengaitkan keadaan semasa dengan peningkatan kos sara hidup, termasuk kenaikan harga diesel memberi tekanan kepada rakyat.
Katanya, keadaan itu menggambarkan seolah-olah kerajaan diketuai Dato’ Seri Anwar tidak mempunyai perancangan jelas dalam menangani cabaran ekonomi semasa.
“Kita nak tahu berapa simpanan minyak negara. Negara lain ada simpanan sehingga sembilan hingga 12 bulan, tetapi kita hanya beberapa hari sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan cadangan darurat yang dibangkitkan sebagai tidak berasas kerana kehidupan rakyat masih berjalan seperti biasa.
“Rakyat masih boleh bergerak, berniaga dan menjalani kehidupan harian. Ini bukan darurat, tetapi kerana mereka takut kalah,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Mengulas senario politik semasa, beliau menyatakan parti-parti dalam kerajaan dilihat berdiam diri dalam isu kenaikan harga minyak kerana bimbang kehilangan sokongan rakyat.
“Mana-mana parti yang menyokong kenaikan harga minyak ini akan berdepan kemarahan rakyat dan berisiko ditolak dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menjangkakan perubahan sokongan rakyat semakin ketara, khususnya menjelang pilihan raya akan datang.
Katanya, penyertaan pengundi muda berusia 18 tahun bakal menjadi faktor penting dalam menentukan hala tuju politik negara.
“Momentum perubahan sudah ada, rakyat semakin tidak sabar untuk membuat pilihan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka.
Beliau turut menegaskan bahawa PAS kekal komited dalam sistem demokrasi dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan, selain terus memperjuangkan pendekatan
“Islam bukan membawa masalah, tetapi datang untuk menyelesaikan masalah, termasuk dalam aspek ekonomi, sosial dan perpaduan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar menilai semula landskap politik negara dan membuat pilihan yang mampu membawa perubahan lebih baik kepada masa depan negara. – HARAKAHDAILY 24/4/2026











