
KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan daripada DAP, Wong Siew Ki dipersoal susulan beliau mahu mengembalikan penternakan babi.
“Apa yang ‘trigger’ dia, sampai dia rasa tanggungjawab dia kena kembalikan penternakan babi?
“Kena kembalikan suasana kotor, tercemar dan menyusahkan rakyat sekeliling?” soal Penganalisis politik, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff.
Nurul Islam berkata demikian susulan laporan media yang memetik kenyataan ADUN berkenaan bahawa isu ternakan babi adalah tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.
Menurutnya, titah Sultan Selangor supaya menutup ladang babi dibuat berasaskan kuasa Baginda sebagai Ketua Negeri dengan mengambil kira penderitaan rakyat yang berdepan pencemaran sumber air dan kehidupan.
“Bila ADUN Seri Kembangan kata itu tanggungjawab dia sebagai ADUN, saya nak tanya, apa masalahnya bila titah Tuanku Sultan suruh tutup semua ladang (babi)?
“Dan (apa masalah bila titah Tuanku Sultan suruh) import (saja) 100 peratus? Adakah rakyat dia tak dapat bekalan daging babi?” ujar beliau dalam media sosial miliknya.
Beliau menegaskan, ADUN berkenaan sepatutnya menjunjung titah Sultan Selangor serta menzahirkan penghargaan kerana tindakan itu menyelesaikan isu yang gagal ditangani kerajaan negeri sebelum ini.
Tambahnya, persoalan juga wujud sama ada terdapat rakyat yang membantah titah tersebut atau mahu tinggal berhampiran kawasan penternakan babi.
“Mana ada manusia yang waras nak marah dengan titah Tuanku Sultan Selangor itu. Yang marah sebenarnya adalah tauke kandang babi.
“Jadi, bila dia cuba nak bela hak untuk bela babi dia bela tauke kandang babi sebenarnya. Jadi jangan cakap kamu buat kerja kamu sebagai wakil rakyat lah,” tempelak beliau.
Beliau menjelaskan, isu itu kembali hangat susulan cadangan untuk memperkenalkan penternakan babi moden di Selangor walaupun terdapat titah supaya tiada penternakan babi dijalankan dalam negeri itu dan keperluan dipenuhi melalui import.
Tambah Nurul Islam, terdapat juga laporan media yang menyiarkan penjelasan penuh ADUN Seri Kembangan yang menurutnya dilihat cuba menormalisasikan perdebatan terhadap titah Sultan.
“Ini satu lagi masalah. Mereka nak menormalisasikan debat ke atas titah Tuanku Sultan. Adakah ini tidak dikira sebagai tindakan yang mengusik 3R (agama, bangsa dan raja)?
Sebenarnya pada saya, DAP ni saja nak ‘testing the waters’ untuk melihat respons dari rakyat apabila titah Sultan Selangor dipertikaikan.
“Nampaknya rakyat Selangor bangkit menghentam ADUN Seri Kembangan dan DAP,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau membangkitkan beberapa persoalan yang menurutnya masih belum terjawab termasuk pendirian Kerajaan Negeri Selangor berhubung isu berkenaan.
Beliau memaklumkan bahawa apabila usul dibangkitkan oleh ADUN pembangkang untuk membawa perkara itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Speaker menyatakan akan memberi respons kemudian walaupun isu itu disifatkan mendesak.
“MB (Menteri Besar) Selangor juga terus membisu sedangkan ADUN Seri Kembangan adalah salah seorang ADUN di bawah (pentadbiran) dia. Kenalah respon wahai MB Selangor. Rakyat nak tahu, kamu sokong ADUN Seri Kembangan atau Sultan Selangor?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan pendirian DAP yang menurutnya masih belum memperincikan reaksi terhadap isu berkenaan.
Selain itu, ujar Nuru Islam, Perdana Menteri juga dilihat belum menyuarakan pandangan walaupun isu itu melibatkan kepentingan awam.
“Apapun jelas dan nyata usaha menormalisasikan debat terhadap titah Tuanku Sultan sedang berlangsung secara halus. Kita perlu bangkit dan pertahan Institusi Raja Raja dan ancaman ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/4/2026











