DMPM, LKKSPP ziarah keluarga arwah Amirul Hafiz

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) dan Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat (LKKSPP) telah ke berziarah ke kediaman Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang terkorban dilanggar pemandu mabuk dalam tragedi bulan lalu.

Ketua DMPM, Ustazah Nuridah Salleh dan Pengerusi LKKSPP, Dr Rosni Adam yang memimpin delegasi ziarah itu menzahirkan rasa dukacita serta keprihatinan terhadap nasib keluarga mangsa yang sedang melalui detik sukar selepas kehilangan insan tersayang.

- Advertisement -

“Ziarah ini sebagai tanda solidariti dan sokongan moral agar keluarga mangsa terus diberi kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial.

Dalam kunjungan itu, LKKSPP turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh isteri Allahyarham, Nor Nadia Abdul Majid, 32, bersama anak-anak.

Menurut Nuridah, sumbangan tersebut diharap dapat memberi sedikit kelegaan serta membantu kelangsungan hidup keluarga berkenaan dan dalam suasana penuh emosi, beliau turut menitipkan kata-kata semangat agar Nor Nadia terus tabah dan reda dengan ketentuan Ilahi.

“Kesedihan ini amat berat, namun yakinlah bahawa setiap kesabaran itu tidak sia-sia. Allah SWT tidak menguji hamba-Nya melainkan sesuai dengan kemampuan. Semoga Allah mengangkat darjat Allahyarham dan mengurniakan kekuatan kepada keluarga yang ditinggalkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa mengutamakan keselamatan di jalan raya, serta menjauhi sikap tidak bertanggungjawab seperti memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Jalan raya bukan tempat untuk mengambil risiko. Setiap tindakan kita memberi kesan kepada orang lain. Hargailah nyawa dan bertanggungjawablah ketika berada di jalan raya,” tegasnya.

Nuridah berkata, ziarah tersebut mencerminkan komitmen berterusan PAS dalam menyantuni masyarakat yang memerlukan serta memastikan kebajikan mereka terus terbela, khususnya dalam situasi melibatkan musibah dan kehilangan besar.

Sehubungan itu, beliau berharap usaha berkenaan menjadi asbab kekuatan buat keluarga mangsa, di samping menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat agar lebih berhemah dan prihatin dalam kehidupan seharian.

Kes kemalangan melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol bukanlah isu baharu di negara ini, malah sering menjadi perhatian umum kerana ia mengundang risiko tinggi kepada keselamatan pengguna jalan raya lain.

Dalam tragedi malang tersebut, kemalangan yang menimpa Allahyarham Amirul menambah lagi siri tragedi jalan raya membabitkan unsur kecuaian dan ketidakpatuhan terhadap undang-undang lalu lintas.

Ia sekali gus memperlihatkan keperluan kepada penguatkuasaan lebih tegas serta kesedaran berterusan dalam kalangan masyarakat mengenai bahaya memandu dalam keadaan tidak selamat.

Dalam kejadian pada 29 Mac lalu, kira-kira jam 11.40 pagi, Amirul Hafiz Omar maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Jalan Raya Barat.

Pemandu kereta berkenaan dipercayai memotong beberapa kenderaan serta memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa menyebabkan mangsa tercampak di atas sebuah kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Allahyarham meninggalkan isteri, Nor Nadia dan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Aqif Amsyar, 9, Muhammad Afif Izz Rayqal, 7, dan Nur Humaira, 2 tahun. – HARAKAHDAILY 24/4/2026

- Advertisement -