Haji 2026: Amaran penjara 10 tahun, denda RM10.6 juta

- Advertisement -

MAKKAH: Kerajaan Arab Saudi memberi amaran penjara sehingga 10 tahun dan denda SR10 juta (RM10.6 juta) terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengeluaran atau penyimpanan makanan tanpa lesen semasa musim Haji 2026.

- Advertisement -

Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-ubatan Saudi (SFDA) dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah memperkukuhkan larangan ketat itu, dengan menegaskan bahawa semua kilang dan gudang makanan wajib mematuhi undang-undang makanan negara itu serta peraturan pelaksanaannya.

Dalam satu kenyataan itu, SFDA menekankan bahawa memastikan keselamatan makanan dan ubat-ubatan untuk jemaah haji kekal menjadi keutamaan utama sepanjang musim ibadah tersebut.

“Pendekatan toleransi sifar akan terus dilaksanakan terhadap sebarang pelanggaran, termasuk larangan menyimpan produk makanan di luar kemudahan berlesen serta larangan operasi semula premis yang telah ditutup tanpa kelulusan kawal selia,” tegas kenyataan itu.

Selain itu, SFDA juga menyatakan, perdagangan produk yang gagal memenuhi piawaian dan keperluan yang diluluskan juga dilarang sama sekali.

“Pesalah boleh dikenakan pelbagai tindakan tegas, termasuk denda kewangan, hukuman penjara, penggantungan daripada aktiviti berkaitan makanan sehingga 180 hari, serta pembatalan atau penggantungan lesen sehingga tempoh satu tahun,” tegas SFDA.

Menurut kenyataan itu lagi, langkah-langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas bagi memperkukuh keselamatan makanan sepanjang musim Haji, dengan kerjasama pelbagai entiti kerajaan lain bagi menyokong jemaah selaras dengan arahan kepimpinan Saudi.

Sehubungan itu, SFDA turut menggesa semua pertubuhan supaya mematuhi peraturan dengan ketat, selain menyeru orang ramai untuk melaporkan sebarang pelanggaran melalui nombor 19999. – HARAKAHDAILY 24/4/2026

- Advertisement -