
KUALA TERENGGANU: PAS kekal dengan pendirian sebagai sebuah parti yang terbuka menjalinkan kerjasama politik dengan mana-mana pihak selagi berasaskan kepentingan agama, bangsa dan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, parti itu mengamalkan pendekatan politik matang dan sejahtera khususnya dalam perkara yang melibatkan kepentingan umat Islam serta negara.
Menurutnya, kerjasama tersebut bukan sahaja melibatkan soal politik dalam negara, malah merangkumi isu kemanusiaan antarabangsa termasuk sokongan terhadap rakyat Palestin, Rohingya dan negara Islam lain yang berdepan konflik.
“Dalam konteks hubungan dengan Umno, PAS sentiasa terbuka dan pernah mewujudkan platform Muafakat Nasional demi masa depan negara, khususnya dalam soal agama.
“Namun apa yang berlaku, Umno dilihat lebih cenderung kepada kepentingan tertentu apabila menolak kerjasama dengan PAS dan bersama-sama dengan Pakatan Harapan dalam kerajaan pada hari ini.
“Kerana itulah terdapat kalangan bekas-bekas pimpinan Umno sendiri mengatakan bahawa parti yang ada pada hari ini bukan Umno, tetapi ‘UMDAP’,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini.
Muhammad Khalil berkata, keutamaan kerajaan negeri ketika ini adalah memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara walaupun pentadbiran berdepan pelbagai kekangan.
“Apa yang penting sebagai sebuah kerajaan kita hendaklah fokus dalam menyelesaikan isu rakyat walaupun dalam keadaan terbatas,” ujarnya.
Katanya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan meliputi aspek agama, ekonomi dan kesejahteraan rakyat termasuk penambahbaikan Enakmen Jenayah Syariah (Hukuman Ta’zir).
Dalam pada itu, Khalil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri berkata, kerajaan negeri berjaya meningkatkan hasil baharu sehingga 15 peratus dan dalam masa sama mengurangkan kebergantungan kepada royalti petroleum.
“Walaupun berdepan kekangan termasuk isu royalti, kerajaan negeri tetap komited menunaikan janji kepada rakyat seperti lesen percuma dan Kad Sejahtera sejak 2018 serta lain-lain.
“Usaha berterusan itu membuktikan PAS sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan rakyat serta mengekalkan keyakinan masyarakat di Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/4/2026











