Garis panduan syariah baharu tak sekat industri

Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Garis panduan patuh syariah yang sedang dimuktamadkan bukan bertujuan menyekat industri pelancongan, seni dan hiburan di negeri itu, sebaliknya menjadi panduan supaya pembangunan berjalan mengikut landasan yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, garis panduan berkenaan adalah penambahbaikan kepada dokumen sedia ada yang diperkenalkan pada penggal lalu.

- Advertisement -

Menurut beliau, kerajaan negeri turut menubuhkan sekretariat khas serta mengadakan libat urus dengan pelbagai portfolio, jabatan dan agensi bagi memperkukuh kandungan garis panduan itu sebelum dilancarkan dalam masa terdekat.

“Sebagai manusia, kita perlu kepada peraturan dan undang-undang. Dalam konteks kerajaan negeri, ia boleh datang dalam bentuk enakmen atau garis panduan.

“Garis panduan yang dirangka ini adalah penambahbaikan daripada garis panduan terdahulu dan kita telah menubuhkan satu sekretariat dan melibat uruskan dengan pelbagai portfolio jabatan dan agensi untuk kita perkasakan lagi. Insya-Allah,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini.

Muhammad Khalil menyatakan, dakwaan bahawa garis panduan itu boleh menjejaskan sektor pelancongan dan pelaburan luar juga tidak berasas kerana keunikan Terengganu sendiri menjadi tarikan utama pelawat.

Tambah beliau, peningkatan jumlah pelancong saban tahun membuktikan identiti negeri yang berteraskan agama, budaya dan alam semula jadi terus mendapat perhatian pengunjung.

“Orang ramai datang ke Terengganu kerana keunikan yang ada pada negeri ini, termasuk pegangan agama masyarakat, budaya serta keindahan pulau dan sungai.

“Jika faktor itu menjejaskan pelancongan, mustahil jumlah pelancong ke Terengganu terus meningkat dari tahun ke tahun,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyatakan garis panduan berkenaan juga tidak menyekat kreativiti pemain industri kerana fungsinya hanya sebagai rujukan kepada pihak berkaitan termasuk penggiat pelancongan dan pihak berkuasa tempatan.

Katanya, pendekatan itu bertujuan memastikan setiap aktiviti dilaksanakan secara lebih teratur selaras dengan prinsip Islam yang bersifat praktikal dan mudah diamalkan.

“Islam ni adalah agama fitrah yang memandu manusia supaya berada di atas fitrah mausiawi berlandaskan Al-Quran dan al-Sunnah yang mudah untuk diamalkan.

“Apa yang diperintahkan oleh Islam adalah satu kebaikan untuk manfaat manusia manakala apa yang dilarang oleh Islam adalah satu mudharat yang mesti dihindarkan”, ujarnya.

Mengulas soal pelaksanaan, beliau berkata, kerajaan negeri akan memastikan garis panduan itu disokong melalui mekanisme penguatkuasaan sedia ada selain memperkukuh beberapa aspek menerusi peraturan dan undang-undang pada masa depan.

“Yang belum digazetkan lagi, kita akan tingkatkan lagi daripada garis panduan kepada peraturan dan undang-undang yang kita bawa ke sidang DUN,” katanya.

Pada 21 April lalu, Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk memaklumkan Panduan Syariah Negeri Terengganu yang telah dikemas kini kini berada di peringkat akhir sebelum dibawa untuk pertimbangan dan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Beliau berkata, dokumen berkenaan akan diterbitkan dan dilancarkan sebaik sahaja mendapat kelulusan MMKN sebelum dikuatkuasakan di seluruh negeri. – HARAKAHDAILY 24/4/2026

- Advertisement -