
SHAH ALAM: Kebebasan bersuara di dalam Dewan Negeri tidak seharusnya disalahgunakan sehingga menggugat prinsip asas Raja Berperlembagaan dan keharmonian negeri, tegas Ketua Penerangan PAS Selangor, Dr. Yusfarizal Yussoff.
Beliau berkata, perbahasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki menyamakan penternakan babi dengan haiwan lain serta menggesa ia dipertimbangkan semula mencerminkan sikap tidak menghormati titah Sultan Selangor.
Beliau menegaskan bahawa dalam kerangka Raja Berperlembagaan, peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor menuntut agar dasar yang menyentuh kepentingan awam dan sensitiviti agama diterjemahkan selaras dengan semangat dizahirkan Sultan.
“Kenyataan ini bukan sahaja dangkal dari sudut kefahaman sosio-budaya dan sensitiviti masyarakat, bahkan bercanggah dengan pendirian jelas telah dizahirkan Sultan Selangor termasuklah penegasan terbaharu dalam Istiadat Pembukaan Dewan Negeri Selangor,” katanya.
Syor wakil rakyat DAP itu semalam, telah mencetuskan reaksi pelbagai pihak memandangkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah bertitah tegas agar tiada lagi aktiviti penternakan babi di negeri tersebut pada Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor, Isnin lalu.
“Baru-baru ini, Beta telah menitahkan agar ternakan babi tidak diadakan di negeri Selangor. Namun demikian masih terdengar rungutan dari beberapa pihak yang seolah-olah tidak berpuas hati dan enggan untuk mematuhi titah Beta.
“Beta telah memberikan faktor-faktor kenapa ternakan babi tidak sesuai di negeri Selangor, antaranya faktor tanah yang tidak mencukupi dan ternakan babi diadakan di kawasan penempatan penduduk yang padat dengan umat Islam.
“Di samping itu isu pencemaran sungai dan udara juga menjadi faktor kenapa ternakan babi di negeri Selangor tidak sesuai,” titah Sultan Sharafuddin mengenai perkara tersebut.
Malah baginda telah berulang kali menzahirkan ketetapan sepanjang tahun 2026 apabila bertitah murka terhadap isu tersebut yang tidak wajar atas faktor kepadatan penduduk, kekurangan tanah, serta isu pencemaran sungai dan udara.
Dr Yusfarizal memperincikan rekod kronologi bagi membuktikan ketegasan baginda bermula terhadap cadangan menjadikan Kuala Langat sebagai lokasi sementara serta pemindahan ke Bukit Tagar untuk penternakan berskala besar, sejak 10 Januari dahulu.
Baginda seterusnya pada 12 Januari menitahkan supaya operasi ladang babi di Tanjong Sepat ditutup demi kesejahteraan penduduk diikuti, kerajaan negeri mengumumkan pembatalan projek penternakan babi berpusat di Bukit Tagar pada 26 Januari.
Pada 10 Februari, baginda bertitah tidak berkenan terhadap sebarang bentuk penternakan babi, sama ada berskala besar atau kecil, di mana-mana daerah di Selangor di mana Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyatakan kerajaan negeri akur dengan titah itu esoknya.
Sehubungan itu Dr Yusfarizal menegaskan bahawa kenyataan ADUN Seri Kembangan selepas titah terbuka ini mencerminkan pendirian bertentangan dengan hala tuju negeri yang telah dimuktamadkan.
“Dalam konteks ini, tindakan ADUN Seri Kembangan tersebut boleh ditafsirkan sebagai ‘derhaka’ iaitu meremehkan keputusan yang telah berulang kali ditegaskan oleh DYMM Sultan Selangor,” jelas beliau.
Beliau juga menyelar tindakan menyamakan babi dengan haiwan lain sebagai pendekatan yang terlalu simplistik dan menunjukkan jurang kefahaman terhadap realiti masyarakat setempat.
Selain itu, beliau yang juga seorang peguam menyifatkan kepimpinan Menteri Besar gagal dalam mengawal barisan penyokong kerajaan sehingga wujud percanggahan terbuka terhadap pendirian rasmi negeri.
“PAS Selangor menuntut agar tindakan tegas diambil terhadap ADUN berkenaan bagi memelihara maruah Dewan dan menjunjung institusi diraja. PAS Selangor juga menggesa Menteri Besar tampil memberi penjelasan serta mengambil tanggungjawab penuh terhadap kegagalan ini,” gesanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2026











