Perlu tegas isu alam sekitar, kuat kuasa undang-undang

- Advertisement -

SHAH ALAM: Jefri Mejan (PN–Ijok) menggesa tindakan segera dan lebih tegas diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor berhubung isu alam sekitar, penguatkuasaan undang-undang serta pendidikan.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Jefri menegaskan isu pencerobohan rizab sungai di Ijok dan sekitar Sungai Buloh semakin membimbangkan apabila fungsi asal kawasan berkenaan dilihat semakin terjejas akibat aktiviti penambakan, pembuangan sampah dan sisa binaan.

“Rizab sungai merupakan zon perlindungan penting bagi memastikan kelancaran aliran air, mengurangkan risiko banjir serta mengelakkan hakisan tebing sungai,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat kawasan di Batu 23 Jalan Ijok, Kampung Sentosa di jajaran Sungai Buloh yang dipenuhi sampah serta aktiviti yang masih berterusan walaupun dipercayai telah ditutup.

“Keadaan itu, bukan sahaja mencemarkan sungai malah memberi kesan kepada ekosistem serta menjejaskan pendapatan nelayan di kawasan muara Sungai Buloh yang bergantung kepada aktiviti penternakan kerang,” ujarnya.

Beliau menyifatkan situasi itu sebagai kegagalan penguatkuasaan yang berulang, selain menegaskan bahawa isu banjir tidak boleh dilihat semata-mata sebagai fenomena hujan.

“Banjir bukan semata-mata kerana hujan, tetapi kerana fungsi sungai dan rizabnya telah dimusnahkan,” katanya.

Jefri turut menegaskan pendekatan penyelesaian banjir perlu berasaskan alam semula jadi atau nature-based solution, bukan hanya bergantung kepada projek fizikal berskala besar.

Menurutnya, projek tebatan banjir bernilai jutaan ringgit tidak akan memberi kesan jika laluan dan kapasiti sungai terus disempitkan oleh pencerobohan serta pencemaran.

“Tiada guna benteng tinggi dan pam mahal jika kita terus menutup laluan air. Kita perlu selesaikan banjir dengan alam, bukan melawan alam,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri mengemukakan status terkini rizab sungai yang telah digazetkan, menyemak pematuhan pembangunan sedia ada serta mengambil tindakan segera terhadap semua pencerobohan.

Dalam isu berasingan, Jefri membangkitkan kebimbangan terhadap peningkatan aktiviti kilang haram memproses sisa elektronik dan elektrik (e-waste) di beberapa kawasan di Selangor termasuk Ijok, Bestari Jaya dan Ladang Bukit Tagar.

“Berdasarkan data kerajaan negeri, jumlah kes kilang haram yang dikesan meningkat daripada satu kes pada 2022 kepada tujuh kes pada 2024, sekali gus menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan,” katanya.

Menurut beliau lagi, sindiket berkenaan dikatakan semakin berani beroperasi walaupun tindakan penguatkuasaan telah diambil, selain mempersoalkan keberkesanan kompaun yang dikenakan.

Beliau turut menyatakan bahawa jumlah kompaun yang dikenakan terhadap operasi terbabit terlalu rendah berbanding keuntungan besar daripada aktiviti pengekstrakan logam berharga.

“Denda yang dikenakan terlalu kecil berbanding keuntungan jutaan ringgit. “Ini tidak memberi kesan pencegahan yang sebenar,” katanya.

Jefri turut merujuk kepada pindaan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 yang membenarkan denda maksimum sehingga RM10 juta, namun mempersoalkan pelaksanaannya di peringkat tempatan.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu ketirisan penguatkuasaan selepas beberapa operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini yang dikaitkan dengan rasuah melibatkan perlindungan kilang haram.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri memperkukuh pemantauan serta kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kastam bagi mengekang aktiviti tersebut.

Jefri turut memberi amaran bahawa aktiviti peleburan e-waste secara haram boleh melepaskan bahan kimia berbahaya seperti dioksin, furan dan logam berat yang berisiko menyebabkan kanser serta masalah kesihatan serius kepada penduduk.

Beliau mencadangkan agar ujian kualiti udara, air dan tanah dilakukan secara berkala di kawasan terjejas serta hasilnya didedahkan kepada umum.

“Ini bukan isu kecil, tetapi isu kelangsungan hidup dan kesihatan awam,” katanya.

Berhubung aspek pendidikan, Jefri turut menzahirkan sokongan terhadap usaha memperkasakan Universiti Selangor (UNISEL) dan UiTM Selangor sebagai institusi milik kerajaan negeri dalam melahirkan generasi muda berpendidikan.

Bagaimanapun, beliau membangkitkan isu berhubung kes 16 pensyarah UNISEL yang dikatakan masih belum diselesaikan selepas proses perundangan yang berpanjangan.

Menurut beliau, penyelesaian di luar mahkamah wajar dipertimbangkan bagi menjaga imej institusi serta memberi keadilan kepada semua pihak terlibat.

“Proses yang terlalu panjang bukan sahaja menjejaskan imej universiti, malah memberi kesan kepada mereka yang telah lama berkhidmat dalam bidang pendidikan,” katanya.

Mengakhiri perbahasan, Jefri menggesa kerajaan negeri mengambil pendekatan lebih tegas atau ‘zero tolerance’ terhadap jenayah alam sekitar, khususnya pencerobohan rizab sungai dan operasi kilang haram.

Beliau menegaskan kegagalan menangani isu berkenaan boleh membawa risiko bencana lebih besar pada masa hadapan.

“Ini bukan soal menyalahkan sesiapa, tetapi memastikan dasar dipatuhi dan keselamatan rakyat diutamakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2025

- Advertisement -