
SHAH ALAM: Dato’ Dr Ab Halim Tamuri (PN–Paya Jaras), menegaskan beberapa isu utama yang perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan negeri, khususnya melibatkan pengurusan banjir, sampah, kuari serta pembangunan bandar.
Beliau berkata, banyak perkara telah disentuh dalam titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menurutnya mencerminkan keprihatinan baginda terhadap kebajikan rakyat dan pembangunan negeri.
“Titah Baginda memperlihatkan nasihat yang mendalam. Justeru saya ingin mengutarakan isu-isu berkaitan kehidupan rakyat yang memerlukan penyelesaian segera,” katanya ketika sesi perbahasan pada Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Mengulas isu banjir, beliau menyifatkan kegagalan menangani masalah itu di Shah Alam bukan lagi sekadar isu teknikal, sebaliknya mencerminkan kelemahan pengurusan yang perlu diberi perhatian serius.
Beliau turut mempersoalkan sama ada kejadian banjir berulang berpunca daripada kegagalan mengekalkan prinsip perancangan asal Shah Alam sebagai bandar taman di bawah PKNS yang menekankan keseimbangan alam sekitar dan kapasiti infrastruktur.
“Antara kelemahan yang dibangkitkan termasuk penyelenggaraan parit dan longkang yang tidak konsisten sehingga menyebabkan sistem perparitan gagal berfungsi walaupun ketika hujan biasa,” katanya.
Sehubungan itu, Ab Halim turut mencadangkan dasar pembangunan perumahan dikaji semula dengan menaikkan kawasan hijau kepada 30 peratus berbanding kira-kira 10 peratus ketika ini bagi meningkatkan keupayaan serapan air.
Beliau turut meminta kerajaan negeri menjelaskan pelan tindakan dalam tempoh 6 hingga 12 bulan, KPI yang boleh diukur serta pihak yang akan dipertanggungjawabkan sekiranya masalah sama berulang.
Mengenai isu kuari, beliau berkata sektor itu walaupun menyumbang kecil kepada KDNK negeri turut memberi kesan besar kepada rakyat dan alam sekitar.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan ketiadaan pelan induk (master plan) pengurusan kuari Selangor serta meminta penjelasan sama ada semakan terhadap Kaedah-Kaedah Kuari Selangor 2003 telah dibuat bagi menyesuaikannya dengan keperluan semasa.
“Antara isu dibangkitkan beliau termasuk gegaran letupan, pencemaran habuk, lori berlebihan muatan, operasi tidak terkawal serta keselamatan jalan raya di kawasan seperti Sungai Buloh, Bukit Lagong dan Matang Pagar,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan terdapat bantahan penduduk termasuk petisyen dan perhimpunan aman berhubung operasi lori kuari yang dilaporkan tidak terkawal, dengan isu tersebut dilaporkan berlarutan lebih dua dekad.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan penubuhan segera task force pembangunan kuari Selangor serta pelaksanaan laluan alternatif lori melalui kerjasama kerajaan negeri dan syarikat konsesi.
Beliau juga meminta penjelasan mengenai mekanisme penggunaan hasil royalti kuari bagi tujuan pemulihan infrastruktur, alam sekitar dan kebajikan komuniti terjejas.
Berhubung isu pengurusan sampah, beliau mencadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya MBSA, menilai semula keperluan menyediakan tong sampah berpusat atau rumah sampah di kawasan padat penduduk.
“Sistem kutipan sedia ada tidak lagi sesuai di kawasan berpenduduk padat sehingga menyebabkan masalah longgokan sampah dan aduan berulang,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan penambahbaikan sistem kutipan serta pembinaan rumah sampah terkawal di kawasan hotspot yang dikenal pasti, termasuk beberapa kawasan kampung padat penduduk.
Beliau turut membangkitkan isu SACC Mall yang berdepan masalah parkir sehingga menjejaskan keselesaan pengunjung dan memberi kesan kepada peniaga.
Selain itu, beliau meminta penjelasan mengenai projek hotel Melayu termasuk kos pemulihan, unjuran pulangan pelaburan (ROI), bayaran tahunan serta justifikasi pelaburan berkenaan.
Menutup perbahasan, beliau menzahirkan sokongan penuh terhadap titah Sultan Selangor serta menyeru semua pihak memberi perhatian serius terhadap isu-isu rakyat yang dibangkitkan.
“Kita sebagai rakyat negeri Selangor perlu menjunjung kasih dan melaksanakan segala titah yang telah disampaikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/202











