
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri mengumumkan untuk terus memperkukuh dan memperhebatkan sektor pendidikan, latihan kemahiran pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), serta pembangunan ekosistem digital di Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, memaklumkan pencapaian peperiksaan utama negeri menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila seramai 92 pelajar memperoleh keputusan straight A, berbanding 80 orang sebelum ini, melibatkan peperiksaan SPM, STAM dan SMU.
Menurutnya, kerajaan negeri sebagaimana lazim turut meneruskan sumbangan kecemerlangan sebanyak RM500 kepada calon yang memperoleh 9A ke atas bagi SPM, Mumtaz bagi STAM serta 4A bagi STPM.
“Permohonan telah dibuka bermula 9 April hingga 19 April lalu dan seramai 1,139 calon yang layak telah mengisi borang.
“Oleh kerana keputusan STPM masih belum diumumkan, kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh permohonan sehingga 29 April bagi memberi peluang kepada pelajar yang belum sempat memohon,” katanya ketika sesi menggulung perbahasan Titah Diraja pada Sidang Dewan Negeri Kelantan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Wan Roslan berkata kerajaan negeri bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan rakyat menikmati liputan internet yang lebih baik.
Katanya, usaha berterusan dilakukan melalui pembinaan menara telekomunikasi baharu, peningkatan kapasiti rangkaian serta ujian dan pemeriksaan berkala di kawasan yang dikenal pasti mempunyai masalah capaian.
“Penduduk juga digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan lokasi yang menghadapi masalah kualiti perkhidmatan melalui portal MCMC Nexus,” tambahnya.
Menyentuh agenda pendigitalan negeri, beliau berkata usaha penubuhan Perbadanan Digital Negeri Kelantan sedang diperkasakan melalui beberapa siri lawatan penanda aras, termasuk ke Perbadanan Digital Sarawak.
Menurut beliau, sesi libat urus bersama pihak berkaitan telah diadakan pada 15 hingga 16 April lalu sebagai langkah memperhalusi model terbaik untuk dilaksanakan di Kelantan.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri baru sahaja menubuhkan Majlis TVET Negeri Kelantan sebagai platform rasmi bagi menyelaras pendidikan dan latihan kemahiran di negeri ini.
“Walaupun kebanyakan institusi TVET berada di bawah kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri tetap memainkan peranan membina laluan latihan kepada anak-anak Kelantan supaya mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan kemahiran,” katanya.
Tambah beliau, beberapa program kemahiran kini telah menerima pentauliahan melalui pusat latihan seperti KPKB, KIASDEC serta institusi pondok dan tahfiz, termasuk bidang operasi pengeluaran tanaman, pengendalian cendawan, pengoperasian masjid dan pengajaran tahfiz.
Lebih menarik, kerajaan negeri juga sedang meneliti tawaran daripada Korea Selatan untuk menghantar 15 pelajar mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal selama tiga tahun.
“Insya-Allah, kita akan usahakan peluang ini demi masa depan anak-anak Kelantan dalam bidang TVET,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan usaha menaik taraf KIAS kepada universiti penuh kini sedang dalam proses.
Pada masa sama Wan Roslan menzahirkan kebanggaan terhadap pencapaian institusi pendidikan YIK yang berjaya melahirkan ramai profesional dalam pelbagai bidang termasuk doktor, ahli farmasi, pensyarah dan tokoh hafiz al-Quran.
“Kejayaan itu membuktikan sistem pendidikan Islam holistik negeri terus relevan dalam melahirkan generasi yang cemerlang dari sudut ilmu, kerjaya dan akhlak,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2026











