Siasat telus insiden anggota polis pijak kepala suspek

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PN mendesak agar siasatan menyeluruh dan telus dilakukan berhubung insiden tular melibatkan anggota polis yang bertindak memijak kepala seorang lelaki semasa operasi tangkapan di Kulim, Kedah, baru-baru ini.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan imej dan reputasi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kekal terpelihara selain terus diyakini oleh rakyat.

Beliau berkata, rakaman video berdurasi 29 saat yang tular di media sosial itu telah menimbulkan kebimbangan masyarakat mengenai tahap profesionalisme serta kewajaran penggunaan kekerasan oleh anggota penguat kuasa terlibat.

“Perikatan Nasional (PN) memandang serius insiden yang menunjukkan seorang anggota polis bertindak memijak kepala seorang individu dalam satu operasi penguatkuasaan di Kulim, Kedah.

“Rakaman video tular tersebut menimbulkan kebimbangan masyarakat mengenai tahap profesionalisme, kewajaran penggunaan kekerasan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh anggota penguat kuasa,” katanya.

Insiden yang berlaku pada 20 April lalu di Jalan Tunku Putra, Kulim itu memaparkan dua anggota polis cuba menahan seorang penunggang motosikal berusia 32 tahun sebelum suspek ditarik jatuh dan kepalanya dipijak.

Polis Kulim mengesahkan suspek cuba melarikan diri secara berbahaya dan menentang tangkapan, selain ujian air kencing mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis methamphetamine.

Susulan penularan video tersebut, Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengarahkan PDRM melakukan siasatan segera bagi meneliti sama ada wujud pelanggaran SOP.

Manakala anggota polis yang terlibat insiden tular tersebut telah ditukarkan ke bahagian pentadbiran sementara menunggu hasil siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

“Pihak polis memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam dengan majoriti anggotanya diyakini menjalankan tugas mereka dengan penuh dedikasi, profesional dan berintegriti.

“Justeru sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang perlu ditangani secara tegas, segera dan berhemah.

“Walaupun siasatan menyeluruh perlu dijalankan sebelum sebarang kesimpulan dibuat, namun perbuatan yang dipaparkan menimbulkan persoalan serius mengenai kewajaran penggunaan kekerasan oleh anggota penguat kuasa dalam situasi sedemikian,” katanya.

Beliau menambah, kebimbangan awam tidak seharusnya dilihat sebagai tindakan terburu-buru kerana ia melibatkan hak asasi individu yang dilindungi undang-undang daripada diperlakukan secara sewenang-wenang.

“PN menyokong penuh jaminan Kementerian Dalam Negeri dan PDRM untuk menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, selain memastikan hasil siasatan dimaklumkan dalam tempoh munasabah.

“PN percaya akauntabiliti dan ketelusan bukanlah sesuatu yang melemahkan pasukan keselamatan atau institusi awam, sebaliknya merupakan elemen penting dalam usaha memperkukuh profesionalisme dan meningkatkan mutu perkhidmatannya,” jelas beliau.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, DSP Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng mengesahkan anggota terlibat kini sedang disiasat oleh JIPS Kedah bagi menilai keberkesanan tindakan fizikal yang diambil semasa proses tangkapan tersebut. – HARAKAHDAILY 22/4/2026

- Advertisement -