Isu kos operasi pesawah: Kerajaan digesa bertindak

Segerakan sistem ‘fleet card, semak kadar insentif bajak padi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu operasi pesawah melibatkan kenaikan kos input pertanian, terutamanya pembajakan yang melonjak susulan pelarasan harga diesel, memerlukan penyelesaian tuntas dan tindakan segera pihak kerajaan melalui kementerian berkaitan.

Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Raib berkata bantuan bersifat ‘one-off’ yang tidak berpijak di bumi nyata sahaja tidak cukup untuk mengatasi masalah tersebut.

- Advertisement -

“Saya memandang serius rintihan dan kegusaran yang disuarakan oleh komuniti pesawah, khususnya melalui Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, berhubung tekanan kos operasi yang semakin menghimpit golongan pengeluar makanan negara,” kataya dalam satu kenyataan

Sehubungan itu, Ismi menggesa kerajaan melalui kementerian berkaitan untuk mengambil tindakan segera ke atas beberapa perkara.

“Pertama, pelaksanaan sistem ‘fleet card’ secara menyeluruh yang diperluaskan penggunaannya kepada semua jenis jentera pertanian padi,” ujarnya.

Menurut beliau, penggunaan kad tersebut amat kritikal bagi memastikan pesawah menikmati harga diesel yang tetap (flat rate), sekaligus melindungi mereka daripada ketidaktentuan harga pasaran minyak dunia akibat konflik global.

“Tanpa kestabilan harga bahan api, kos rantaian pengeluaran padi akan terus terdedah kepada inflasi yang melampau,” jelasnya.

Tambah Ismi, perkara kedua yang memerlukan tindakan segera kerajaan ialah semakan semula Kadar Insentif Bajak Padi (IPKP)

“Walaupun kenaikan IPKP daripada RM160 kepada RM300 sehektar dialu-alukan, realitinya jumlah tersebut masih jauh di bawah kos sebenar di lapangan,” ujar beliau.

Katanya, berdasarkan maklum balas pesawah, kos pembajakan bagi dua pusingan kini mencecah RM1,400 sehektar. Insentif sedia ada hanya menampung sekitar 20 peratus daripada kos keseluruhan.
“Saya mendesak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menyemak semula kadar ini agar lebih munasabah dengan kos operasi semasa,” jelas Ismi.

Perkara berbangkit seterusnya, ujar beliau, ialah kerajaan perlu menangani isu sistemik membabitkan benih dan perosak.

“Beban pesawah bukan sekadar pada kos diesel. Masalah kualiti benih yang merosot serta serangan perosak yang kian meruncing telah menjejaskan hasil tuaian secara drastik.

“Kerajaan tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada subsidi tunai, tetapi perlu memperbaiki ekosistem bekalan benih dan sokongan teknikal bagi memastikan hasil padi kembali stabil,” tegasnya.

Seterusnya, Ismi menegaskan kerajaan perlu turun padang dan mencari solusi konkrit bagi mengatasi masalah isu kos operasi pesawah.

“Saya menyokong penuh langkah Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang kini sedang mengumpul data kos pengeluaran padi,” ujar beliau.

Namun, Ismi menegaskan, kementerian tidak harus menunggu laporan siap untuk bertindak. Pegawai tertinggi kementerian perlu turun ke bawah, bertemu dengan pesawah di kawasan seperti Parit dan jelapang padi lain untuk mendengar sendiri kemelut yang dihadapi.

“Pesawah adalah tunjang kepada keterjaminan makanan negara. Jika kebajikan mereka terus diabaikan dengan bantuan yang tidak mencukupi, kita bimbang sektor penanaman padi akan menjadi semakin tidak berdaya maju, seterusnya mengancam bekalan beras negara dalam jangka masa panjang,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2026

- Advertisement -