‘Konflik Asia Barat bukan alasan naikkan bil elektrik’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hujah mengaitkan kenaikan kos bahan api global akibat konflik di Asia Barat sebagai justifikasi untuk menaikkan bil elektrik disifatkan sebagai tidak mampan dan tidak mencerminkan realiti sebenar struktur tenaga negara.

Pengerusi Lajnah Pembangunan Modal Insan & Tenaga Profesional, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, berkata pasaran sering tersilap menghubungkan kenaikan harga minyak mentah (crude oil) dengan kos penjanaan elektrik, sedangkan profil tenaga Malaysia sebenarnya didominasi oleh arang batu dan gas asli.

- Advertisement -

Beliau menjelaskan bahawa penjanaan elektrik negara bergantung besar kepada bekalan arang batu dari Indonesia dan Australia, yang tidak terjejas secara langsung oleh konflik di Timur Tengah.

“Sebagai pengeluar gas asli cecair (LNG) yang signifikan, kebergantungan kepada sumber domestik sepatutnya bertindak sebagai pelindung semula jadi terhadap inflasi tenaga global, bukannya alasan untuk menaikkan tarif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas peralihan daripada mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) kepada sistem Automatic Fuel Adjustment (AFA) yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025, beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan penyelarasan kos dilakukan secara lebih telus dan responsif.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa AFA tidak seharusnya menjadi ‘laluan automatik’ untuk memindahkan beban kos kepada rakyat setiap kali berlaku ketidaktentuan geopolitik.

Menurutnya, prinsip pengurusan risiko di bawah AFA perlu berasaskan data unjuran yang matang bagi menyerap kejutan jangka pendek, dan bukannya bertindak secara reaktif terhadap spekulasi harga minyak mentah yang tidak berkaitan secara langsung dengan kos marginal gas dan arang batu.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) yang ditubuhkan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 perlu berfungsi mengikut mandat asalnya sebagai penampan ketika berlaku turun naik harga bahan api.

“Berdasarkan prinsip ekonomi kitaran, dana yang dikumpul sewaktu harga komoditi rendah wajar dimanfaatkan sepenuhnya pada masa ini melalui sistem AFA untuk mengekalkan kadar tarif sedia ada.

“Kenaikan bil dalam keadaan dana penampan masih tersedia merupakan langkah yang tidak efisien dan membebankan rakyat,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Jerantut.

Beliau turut mengingatkan bahawa kenaikan tarif elektrik ketika ekonomi masih dalam fasa pemulihan boleh mencetuskan kesan rantaian, khususnya kepada sektor perkilangan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, peningkatan kos elektrik sebagai input utama akan dipindahkan kepada pengguna akhir, sekali gus meningkatkan tekanan inflasi dan mengurangkan kuasa beli rakyat.

Selain itu, beliau berpandangan Malaysia ketika ini mempunyai margin simpanan (reserve margin) elektrik yang mencukupi, sekali gus membolehkan sistem penjanaan sedia ada mengimbangi kenaikan kos marginal tanpa perlu membebankan pengguna domestik dan komersial kecil.

“Kerajaan perlu mengutamakan kestabilan makroekonomi berbanding pelarasan tarif yang bersifat reaktif.

“Konflik Asia Barat adalah faktor luaran yang tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menekan kos sara hidup domestik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar mekanisme AFA digunakan untuk mengekalkan kadar tarif sedia ada atau memberikan rebat melalui sokongan dana KWIE bagi memastikan kelangsungan ekonomi rakyat dan kestabilan industri negara terus terpelihara. – HARAKAHDAILY 22/4/2026

- Advertisement -