Penyahwartaan hutan: Tanpa siasatan awam, siapa jamin telus?

Kes Hutan Simpan Kuala Langat Utara jadi contoh

- Advertisement -

IPOH: Ustaz Mohd Fakhrudin Abdul Aziz (PN-Kamunting) menegaskan keperluan memperkukuh ketelusan dalam proses penyahwartaan hutan simpan kekal.

Menurut beliau, keperluan itu khususnya melalui pindaan kepada Seksyen 11 dalam Rang Undang-undang Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Pemakaian 2026).

- Advertisement -

Beliau berkata, pindaan dicadangkan memperkenalkan kewajipan siasatan awam sebelum penyahwartaan dibuat.

Namun menurutnya, kerajaan negeri difahamkan tidak mengesyorkan pendekatan itu kerana bimbang skop terlalu terbuka boleh mengundang penglibatan pihak luar tanpa sempadan serta berpotensi menjejaskan kedaulatan negeri.

“Kamunting (saya) memahami kebimbangan ini. Namun dalam masa yang sama kita juga tidak boleh menafikan bahawa dalam sejarah negara isu penyahwartaan hutan sering menjadi kontroversi akibat kekurangan ketelusan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang tersebut pada Persidangan Dewan Negeri di Bangunan Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Menurutnya, kes penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara di Selangor pada 2020 hingga 2021 yang mencetuskan bantahan besar daripada rakyat termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar alam sekitar.

Ia menurut beliau membuktikan bahawa keputusan tanpa keyakinan terhadap ketelusan akan dipersoalkan serta menghakis kepercayaan awam.

Dalam masa sama, beliau menegaskan pengurusan hutan adalah amanah besar yang menyentuh keseimbangan antara pembangunan, kelestarian alam dan tanggungjawab kepada generasi akan datang.

Katanya, pindaan tahun 2022 bertujuan memperkukuh tadbir urus hutan melalui beberapa pendekatan termasuk prosedur lebih ketat dalam penyahwartaan.

Pindaan itu juga jelasnya bertujuan peningkatan penalti kesalahan pembalakan haram sehingga RM500,000 dan hukuman penjara, serta pengurusan hutan secara lebih sistematik dan berlesen.

Beliau turut menarik perhatian kepada kedudukan sumber hutan di Perak yang mempunyai keluasan kira-kira 2.087 juta hektar dengan hampir 1.015 juta hektar merupakan kawasan berhutan.

“Lebih besar nilai sesuatu aset, lebih besar tanggungjawab untuk menguruskannya dengan amanah,” ulas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata negeri juga terikat dengan piawaian antarabangsa dan nasional seperti Malaysia Criteria and Indicator, khususnya kriteria 6.10.

Kriteria itu menurut beliau menetapkan penukaran hutan kepada guna tanah lain hanya boleh berlaku secara sangat terhad serta tidak menjejaskan kawasan bernilai pemuliharaan tinggi dan koridor ekologi.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan jaminan ketelusan, integriti dan pematuhan piawaian sekiranya Seksyen 11 dikekalkan tanpa pindaan mewajibkan siasatan awam.

Bagi memastikan keseimbangan antara kedaulatan negeri dan akauntabiliti awam, beliau mengemukakan beberapa cadangan termasuk mewujudkan kerangka ketelusan mandatori dengan laporan justifikasi lengkap.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya, pematuhan kepada kriteria 6.10 melalui penilaian bebas pihak ketiga, serta menetapkan hanya kawasan hutan bernilai ekologi rendah dipertimbangkan untuk penyahwartaan.

Beliau turut mencadangkan sesi libat urus rasmi bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai mekanisme semak dan imbang, penggunaan prinsip ‘no net loss of forest’ serta pembentangan laporan tahunan berkaitan status hutan simpan kekal kepada Dewan Undangan Negeri.

“Hutan bukan sekadar warisan fizikal tetapi suatu warisan amanah. Kita boleh memilih untuk melihatnya sebagai sumber jangka pendek.

“Atau sebagai pelindung jangka panjang kepada kehidupan rakyat daripada sumber air, kestabilan tanah sehingga kepada keseimbangan ekosistem alam,” katanya.

Beliau menyatakan, sokongan terhadap rang undang-undang itu boleh diberikan dengan syarat prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kelestarian dijadikan asas yang tidak boleh dikompromi dalam setiap keputusan kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 22/4/2026

- Advertisement -