
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu disaran lebih tegas dalam usaha menjaga anak-anak muda sebagai generasi pewaris perjuangan, termasuk melindungi akal serta keterampilan intelektual mereka daripada ancaman dadah dan budaya hedonisme.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, walaupun Terengganu sering digambarkan sebagai negeri bahagia serta mencatat prestasi baik dalam peperiksaan awam selama sedekad, namun isu sosial khususnya dadah masih perlu diberi perhatian serius.
Menurut beliau, negeri ini juga terkenal dengan keindahan pantai dan pulau, selain suasana masyarakat yang beragama dengan masjid dan surau yang sentiasa meriah serta kuliah pengajian yang tersebar luas.
“Secara umumnya Terengganu masih dilatari suasana beragama, dengan masjid surau yang sentiasa meriah, namun penagihan dadah masih lagi menjolok mata dalam kemeriahan takbir dan doa wehdah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian merujuk kepada statistik Polis Terengganu yang mencatatkan rampasan dadah bernilai RM76.42 juta pada tahun 2025, selain menahan 11,893 penagih dadah di seluruh negeri.
Beliau menyatakan, usaha berterusan pihak penguat kuasa wajar didokong semua pihak termasuk pentadbiran peringkat akar umbi seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Dalam pada itu, beliau turut mengimbau sejarah penularan dadah yang dikaitkan dengan kemasukan candu pada era penjajahan British di Tanah Melayu melalui sistem buruh migran, yang turut membawa masalah sosial seperti penagihan candu, pelacuran dan kongsi gelap.
Katanya, perkembangan dadah kemudian berterusan pada era 1960-an dan 1970-an dengan kemunculan heroin dan morfin, selain pengaruh budaya hippies serta muzik yang dikaitkan dengan normalisasi penggunaan bahan terlarang.
“Penyalahgunaan dadah terus mekar dalam dekad 1980an, era -Battle of the band_ pada pertengahan dasawarsa 80an dengan kegilaan rockmania terus mengheret anak muda “lalok” dengan bahan terlarang itu . Berkembangnya dadah sintetik dengan jaringan besar hiburan diskotik yang merangsang anak muda untuk mencuba.
“Dadah tidak mengenal bendera parti,latar sosial, latar pendidikan, terus menjadi ancaman kepada penerusan generasi sehingga kerajaan mengistiharkan sebagai musuh negara pada tahun 1983.
“Di Terengganu, kawasan kawasan penduduk bertaraf sosial rendah, kawasan pembangunan tanah persekutuan, termasuk perkampungan nelayan masih lagi menduduki hot spot kawasan mesra dadah,” katanya.
Beliau berkata, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan termasuk penubuhan pusat pemulihan dadah Islamik serta penglibatan NGO seperti PENGASIH, Muslim Care Malaysia dan PEMADAM, namun cabaran itu masih berterusan.
Riduan turut menyentuh isu vape yang disifatkannya sebagai antara punca kerosakan akhlak anak muda, apabila wujud campuran bahan berbahaya seperti vape mushroom yang mudah diperoleh namun sukar dikesan oleh ibu bapa, penjaga mahupun guru.
“Penulis melihat dengan dekat penyalahgunaan vape dikaitkan dengan dadah sintetik, ianya langkah awal anak remaja terjebak dengan penagihan dadah sejak bangku sekolah rendah.
“Pihak AADK sebagai entiti paling hadapan menanggani isu penagihan dadah telah mengesahkan vape menjadi wahana baharu penggunaan dadah sintetik. Pengedar dadah juga mensasarkan penggunaan muda dadah melalui penggunaan wape.
“Kerajaan Terengganu wajib tegas menjaga anak-anak muda sebagai generasi pewaris perjuangan,” katanya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar negeri Terengganu yang indah ini bebas daripada budaya hedonisme, “sensate culture” serta gaya hidup bohemian yang dilihat boleh meruntuhkan jati diri Muslim di negeri ini.
“Insya-Allah, dengan iltizam kerajaan dan seluruh warga Terengganu, kita mampu membasmi kemiskinan moral sekiranya semua warga termasuk kerajaan tanpa pembangkang memainkan peranan mereka.
“Kemampan integriti juga merupakan faktor utama bagi menjayakan kempen basmi dadah, gejala hedonisme serta keruntuhan sosial.
“Sudah tentu, ia memerlukan iltizam politik yang serius bagi merealisasikan cita-cita murni ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2026











