1,485.68 hektar tanah terbiar berjaya dimajukan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 1,485.68 hektar tanah terbiar di Terengganu berjaya dimajukan sejak 2019 hingga tahun ini, bagi mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, pembangunan itu memberi manfaat kepada 1,063 petani di seluruh negeri.

- Advertisement -

Menurutnya, di daerah Setiu sahaja, daripada 1,519 hektar tanah terbiar yang dikenal pasti, sebanyak 475 hektar berjaya dipulihkan yang memberi manfaat kepada 131 petani.

“Pemulihan yang dilaksanakan adalah melibatkan penyediaan infrastruktur ladang seperti pembersihan serta pembinaan parit dan pagar.

“Antara tanaman yang menjadi pilihan ialah pisang, jagung, labu, tembikai, kelapa, sayur-sayuran dan ubi,” katanya ketika menjawab soalan Mohd Shafizi Ismail (PAS-Batu Rakit) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, hari ini.

Shafizi melalui soalan lisan minta dinyatakan langkah kerajaan negeri bagi pembangunan sawah padi luar jelapang.

Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, menerusi Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2024-2030, seluas 1,924 hektar tanah terbiar dan tanah sawah berpotensi disasarkan untuk dibangunkan.

Katanya, antara projek yang sedang giat dimajukan ialah pembangunan tanah sawah kira-kira 700 hektar di Skim Pengairan Jelapang Langkap menerusi kerjasama dengan syarikat pelabur tempatan, Qudsi Global Sdn Bhd.

“Disamping peruntukan tanah terbiar kerajaan pusat, kerajaan negeri turut menyediakan insentif bagi pembangunan tanah terbiar. 

“Satu Jawatankuasa Task Force tanah Terbiar Negeri Terengganu juga telah ditubuhkan tahun 2021. Antara tugas Jawatankuasa Task Force ialah menyediakan data base tanah, mengkaji faktor-faktor penyebab serta menyediakan pelan bertindak,” katanya.

Azman berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM2 juta bagi membantu pembangunan tanah terbiar termasuk kawasan sawah padi melalui penyediaan insentif kepada pengusaha yang berminat.

“Pengusaha yang berminat untuk membangunkan tanah terbiar boleh memohon insentif kerajaan melalui Jabatan Pertanian mengikut kesesuaian tanaman beserta syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Antara insentif yang disediakan seperti Pembangunan Tanaman Buah-Buahan Jangka Panjang, Pembangunan Tanaman Buah-Buahan Jangka Pendek, Pembangunan Tanaman Sayur-Sayuran Dan Kontan serta Pembangunan Industri Kelapa,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2026

- Advertisement -