Tenaga mahir Perak: Siapa isi peluang RM47 bilion?

‘Brain drain’ jadi ancaman, Perak berdepan krisis

Salehuddin Abdullah
- Advertisement -

IPOH: Pendekatan lebih tersusun perlu digerakkan di bawah portfolio Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan dengan memberi fokus kepada pembangunan modal insan secara strategik bagi mengatasi masalah ‘brain drain’ di Perak.

- Advertisement -

Ustaz Salehuddin Abdullah (PN-Selinsing) berpandangan, antara langkah utama mengatasi masalah tersebut ialah mewujudkan sistem pemprofilan tenaga belia negeri Perak secara menyeluruh mengikut segmen kemahiran, minat dan kepakaran.

“Melalui pendekatan ini, golongan belia yang kurang cenderung kepada laluan akademik boleh kita salurkan secara lebih terancang ke dalam bidang berkemahiran tinggi.

“(Ia) melalui pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) selari dengan keperluan industri berteknologi tinggi yang sedang dirancang di bawah Pelan Perindustrian Perak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Sultan Perak sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat pada Persidangan Dewan Negeri di Bangunan Darul Ridzuan, di sini pada Khamis.

Menurutnya, kerajaan juga perlu memastikan pembangunan industri berkenaan benar-benar mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti yang mampu mengekalkan bakat tempatan dan bukan sekadar membuka ruang yang akhirnya diisi tenaga kerja luar.

“Jika tidak, kita akan terus berdepan dengan satu realiti yang paradoks apabila negeri merancang pembangunan industri berteknologi tinggi.

“Tetapi pada masa sama kehilangan tenaga kerja mahir yang sepatutnya menjadi tulang belakang pembangunan itu,” bimbangnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh usaha pembasmian kemiskinan serta cabaran kemiskinan baharu yang masih membelenggu rakyat.

Namun, beliau menegaskan isu itu perlu dilihat dalam kerangka lebih luas iaitu perubahan struktur demografi negeri.

Katanya, Perak kini berhadapan dengan fenomena penuaan penduduk pada kadar tertinggi di Malaysia apabila bagi tempoh 2024 hingga 2025, antara 14.9 hingga 15.4 peratus penduduk berumur 60 tahun ke atas, manakala bagi kategori 65 tahun ke atas pula sekitar 10.3 peratus.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa struktur demografi negeri ini sedang berubah dengan sangat- sangat pantas.

“Malah, Perak dijangka menjadi negeri menua pertama di Malaysia menjelang 2030 dengan unjuran hampir 18 peratus penduduknya akan berusia 65 tahun ke atas dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” jelasnya.

Beliau menambah, perkembangan itu membawa implikasi besar terhadap tenaga kerja, produktiviti ekonomi serta kelangsungan sektor asas negeri.

Katanya, peningkatan peratusan warga emas tanpa imbangan tenaga kerja muda mencukupi akan menjejaskan keupayaan ekonomi untuk berkembang secara mampan.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan fenomena itu amat ketara di kawasan Kerian termasuk Selinsing apabila kampung semakin didominasi warga emas manakala golongan muda berhijrah keluar mencari peluang pekerjaan lebih baik di bandar.

“Fenomena ini berkait rapat dengan isu penghijrahan tenaga mahir atau ‘brain drain’ yang menjadi cabaran utama kepada pembangunan negeri khususnya dalam memastikan kesinambungan ekonomi luar bandar dan sektor kritikal seperti pertanian,” katanya.

Dalam masa sama, beliau merujuk kejayaan pelajar termasuk di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kerian dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai bukti potensi generasi muda yang cemerlang.

Namun, tegasnya persoalan utama ialah sejauh mana sistem ekonomi negeri mampu mengekalkan potensi dan bakat itu.

“Jika kita gagal menyediakan peluang setimpal, kita sebenarnya menyumbang kepada satu kitaran melemahkan apabila melahirkan pelajar cemerlang tetapi pada masa sama kehilangan mereka ke luar kawasan,” katanya lagi.

Beliau turut menekankan bahawa isu itu diakui dalam kerangka dasar negeri apabila Pelan Perindustrian Perak menyatakan negeri berdepan masalah ‘brain drain’ serta kekurangan tenaga kerja mahir berteknologi tinggi yang menjejaskan daya saing ekonomi.

Menurutnya, Perak menyasarkan pelaburan sehingga RM47 bilion serta pembangunan sektor industri berteknologi tinggi sebagai pemangkin ekonomi menjelang 2030.

Namun katanya, timbul persoalan siapakah yang akan mengisi peluang pekerjaan berkemahiran tinggi itu sekiranya tenaga muda terus berhijrah.

“Penghijrahan tenaga kerja berterusan menunjukkan kita bukan sahaja berdepan kekurangan peluang, tetapi juga kegagalan membina ekosistem ekonomi yang mampu mengekalkan bakat tempatan.

“Akibatnya, kawasan luar bandar menjadi semakin tua, tenaga kerja produktif semakin berkurangan dan ekonomi tempatan kehilangan daya saing,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/4/2026

- Advertisement -