Isu kendalian bagasi KLIA: Orang ramai berhak dapat jaminan

MOT digesa beri penjelasan telus, menyeluruh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) agar memberi penjelasan yang telus dan menyeluruh berhubung masalah yang berlaku melibatkan agensi-agensi di bawahnya.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, MOT perlu mendedahkan punca sebenar kegagalan-kegagalan berkenaan, termasuk sama ada rejim penyelenggaraan pencegahan mencukupi, kerja naik taraf sistem berjalan lancar atau pelan kontingensi sedia ada benar-benar berkesan dalam menangani gangguan operasi.

- Advertisement -

“Pada masa yang sama, aspek kebertanggungjawaban juga perlu didedahkan sekiranya wujud kelemahan, kecuaian atau kegagalan pengurusan yang menyumbang kepada insiden-insiden ini.

“Orang ramai berhak mendapat jaminan bahawa langkah pembetulan sedang dan akan dilaksanakan secara tegas serta berkesan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian, sambil menegaskan PN memandang serius isu gangguan terbaharu melibatkan sistem pengendalian bagasi (BHS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA) pada petang Sabtu, 18 April 2026 yang menyebabkan kelewatan bagasi antara dua hingga empat jam melibatkan sejumlah besar penumpang yang baru tiba.

“Perkara itu menyebabkan kelewatan serta kesulitan kepada penumpang dengan sebahagiannya dilaporkan terpaksa menunggu beberapa jam untuk mendapatkan bagasi masing-masing,” katanya.

Beliau menegaskan, sebagai pintu masuk utama negara, kegagalan operasi seperti ini menimbulkan persoalan serius mengenai tahap kebolehpercayaan, kesiapsiagaan dan mutu pengurusan infrastruktur kritikal pengangkutan awam negara.

“Insiden ini menambah kepada senarai gangguan berulang melibatkan pengangkutan utama di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan (MOT),” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dan Setiausaha Agung PAS.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ujar beliau, pengguna turut berdepan gangguan perkhidmatan rel bandar, termasuk LRT Kelana Jaya Line, MRT Putrajaya Line serta beberapa gangguan teknikal lain yang menyebabkan kelewatan atau penggantungan sementara perkhidmatan mengakibatkan kesulitan kepada ribuan pengguna harian.

“Apabila gangguan berlaku merentasi pelbagai mod pengangkutan, sama ada di lapangan terbang, sistem rel bandar mahupun operasi pengakutan berkaitan, menunjukkan wujudnya cabaran lebih besar berkaitan pengurusan operasi, standard penyelenggaraan, daya tahan sistem serta keberkesanan pelan kontingensi.

“Kejadian-kejadian ini tidak boleh dianggap insiden teknikal terpencil, sebaliknya perlu dilihat sebagai petunjuk kepada kelemahan sistemik yang lebih mendalam dan memerlukan tindakan segera serta pendekatan menyeluruh,” hujah Takiyuddin.

Tambah beliau, infrastruktur pengangkutan awam merupakan aset kritikal negara yang perlu beroperasi secara konsisten, cekap dan boleh dipercayai, lebih-lebih lagi KLIA yang merupakan hab pengangkutan antarabangsa utama dan pintu masuk pelancongan, perdagangan dan pelaburan negara.

Sehubungan itu beliau juga berkata, walaupun Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan telah memanggil mesyuarat tergempar susulan insiden terbaru di KLIA, namun ia tidak boleh dilihat secara terpencil dan terpisah.

“Isu ini perlu ditangani sebagai sebahagian daripada cabaran sistemik melibatkan pelbagai mod pengangkutan yang memerlukan pelan pemulihan serta penambahbaikan yang menyeluruh dan bersepadu,” tegasnya lagi.

Justeru, Takiyuddin mencadangkan MOT perlu mengemukakan garis masa yang jelas dan munasabah merangkumi tindakan segera, pelan penambahbaikan jangka sederhana serta langkah memperkukuh daya tahan sistem berjangka panjang.

“Langkah-langkah segera bagi memulihkan kebolehpercayaan dan kecekapan perkhidmatan ini hendaklah dijadikan keutamaan nasional, bukannya dilihat sebagai isu semasa yang mendapat perhatian sementara sebelum lenyap tanpa penyelesaian beberapa hari selepas itu,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan susulan kejadian berkenaan, Anthony Loke telah memaklumkan bahawa Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan telah diarahkan mengadakan mesyuarat tergempar bersama agensi berkaitan bagi meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) pengurusan gangguan di lapangan terbang.

Selain itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut diarahkan menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada tindakan boleh dikenakan terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) susulan kegagalan perkhidmatan tersebut.

Menurut Anthony, MAHB sebagai pengendali KLIA akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap gangguan berkenaan. – HARAKAHDAILY 20/4/2026

- Advertisement -