
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar Kerajaan Negeri Selangor memberi perhatian menyeluruh dan tindakan segera terhadap beberapa isu berpanjangan melibatkan banjir, pencemaran air, pengurusan sisa pepejal oleh kilang serta masalah kebersihan di negeri ini.
Baginda bertitah bahawa isu-isu tersebut merupakan tanggungjawab kerajaan negeri yang telah sekian lama dibangkitkan, namun masih belum menunjukkan penyelesaian berkesan sehingga menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Menurut Baginda, isu banjir merupakan antara perkara utama yang telah berulang kali dinasihatkan agar diselesaikan dengan segera.
“Pertamanya isu banjir yang telah berpuluh kali Beta nasihatkan untuk diselesaikan dengan segera,” titah Baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa kesal apabila cadangan agar kerajaan negeri merujuk kepada pakar luar negara, khususnya dari Belanda bagi mendapatkan kaedah terbaik menangani banjir, tidak diberi perhatian sewajarnya.
“Namun malangnya, nasihat Beta tidak dipeduli dan tidak diambil berat, diibaratkan seperti ‘mencurah air ke daun keladi’ sahaja,” titah Baginda.
Baginda seterusnya menegaskan bahawa walaupun peruntukan tahunan disediakan bagi menangani banjir, kesannya masih belum ketara apabila kejadian banjir tetap berlaku di beberapa kawasan perumahan di daerah-daerah Selangor, sekali gus membebankan rakyat.
Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menggesa kerajaan negeri melaksanakan perancangan lebih tersusun dan menyeluruh merangkumi jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menyelesaikan isu tersebut secara tuntas.
Dalam masa sama, Baginda turut menekankan kepentingan usaha pembersihan Sungai Klang sebagai langkah penting memastikan bekalan air bersih dapat terus disalurkan kepada rakyat Selangor yang semakin bertambah.
“Beta tidak akan jemu untuk terus bertitah agar tindakan diambil sehingga masalah banjir dan bekalan air bersih ini diselesaikan dan ditamatkan ‘once and for all’,” titah Baginda lagi.
Selain isu banjir dan air, Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap pengurusan sisa oleh kilang-kilang yang didapati tidak diurus secara berhemah sehingga berisiko menyebabkan pencemaran sungai.
Baginda menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana kilang yang beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) serta yang melanggar peraturan alam sekitar.
Sultan Sharafuddin turut menyentuh isu kebersihan dan perkhidmatan pengangkutan sampah yang masih belum mencapai tahap berkesan di negeri ini, sekali gus menjejaskan kualiti hidup rakyat.
Sehubungan itu, Baginda mencadangkan agar kerajaan negeri memberi tumpuan serius kepada pembangunan industri waste to energy yang dilihat sebagai antara pendekatan masa depan dalam pengurusan sisa dan tenaga lestari.
Baginda menjelaskan bahawa beberapa negeri lain telah terlebih dahulu membangunkan industri tersebut dan menunjukkan potensi besar bukan sahaja dari sudut kelestarian alam sekitar, malah dalam menjimatkan perbelanjaan negeri.
Dalam pada itu, Baginda menyambut baik penubuhan Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor yang akan berada di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) bagi membantu membuat analisis dan merangka tindakan menghadapi cabaran ekonomi.
Bagaimanapun, Baginda menegaskan bahawa segala usaha dan inisiatif yang dirancang perlu dilaksanakan dengan segera dan bukan sekadar kekal sebagai cadangan tanpa tindakan berkesan.
Terdahulu, Selangor sebagai negeri paling maju dan berpenduduk paling ramai di Malaysia berdepan cabaran pembangunan pesat yang memberi tekanan kepada sistem saliran, pengurusan sungai, serta infrastruktur asas termasuk bekalan air dan pelupusan sisa.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa kawasan di negeri itu sering terjejas akibat banjir kilat, selain insiden pencemaran sungai yang menjejaskan operasi loji rawatan air dan bekalan kepada pengguna.
Pertumbuhan industri serta peningkatan kawasan perumahan turut menambah cabaran kepada pihak berkuasa tempatan dalam mengawal selia pengurusan sisa pepejal dan sisa industri secara berkesan. HARAKAHDAILY 20/4/2026











