Pencemaran bau toksid berterusan di Sijangkang

Rakyat desak tindakan tegas, bersepadu Kerajaan Selangor

- Advertisement -

SHAH ALAM: Masalah pencemaran alam sekitar yang melibatkan asap toksid akibat pembakaran terbuka serta bau busuk yang menjejaskan kehidupan harian penduduk di sekitar Sijangkang masih belum berkesudahan, walaupun pelbagai aduan dan tindakan penguatkuasaan telah dilakukan.

Ahli Parlimen Kuala Langat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, keadaan tersebut telah menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan rakyat yang semakin terkesan, khususnya di kawasan berkepadatan tinggi seperti Sijangkang, Kebun Baharu, Bandar Rimbayu dan Bandar Saujana Putra.

- Advertisement -

Menurut beliau, sebelum ini, kawasan DUN Sijangkang pernah dikejutkan dengan pencemaran bau toksid yang berpunca daripada aktiviti haram industri bateri di Jenjarom.

“Insiden tersebut akhirnya membawa kepada penutupan kilang bateri berkenaan, sekali gus menyelamatkan penduduk setempat daripada risiko pencemaran berterusan.

“Namun kini, isu pencemaran bau toksid kembali berulang, kali ini berpunca daripada aktiviti pembakaran sampah kitar semula secara haram,” katanya yang juga Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat.

Tambah beliau, aktiviti tersebut mula mendapat perhatian sekitar tahun 2018 apabila pusat pengumpulan sampah haram di sekitar Jalan Sungai Rambai melakukan pembakaran terbuka yang kemudiannya merebak menjadi kebakaran besar.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Yunus mendedahkan bahawa mejadian seumpama itu bukan lagi kes terpencil apabila beberapa lokasi lain di sekitar DUN Sijangkang, khususnya di Jenjarom dan Telok Panglima Garang, turut dikenal pasti terlibat dalam aktiviti pembakaran haram bahan kitar semula seperti plastik.

“Aktiviti ini dilihat semakin rancak walaupun terdapat usaha penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

“Siasatan lanjut mendapati aktiviti tersebut terus berlarutan dengan kewujudan beberapa hotspot longgokan sampah kitar semula dan sisa elektronik (e-waste), terutamanya di tanah persendirian Felcra Batu 8 Sijangkang dan kawasan sekitarnya,” dedah beliau lagi.

Beliau juga menyatakan, walaupun laporan demi laporan telah dibuat oleh penduduk dan wakil rakyat, serta pelbagai tindakan penguatkuasaan telah diambil oleh pihak berkuasa, situasi masih tidak menunjukkan perubahan ketara.

“Malah, pelaku dilihat tidak serik dan terus menjalankan aktiviti haram tersebut, dipercayai sebahagiannya dilindungi oleh kumpulan gangster.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada kadar denda yang dikenakan ketika ini terlalu rendah sehingga gagal memberi kesan pencegahan kepada pelaku,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan disaran untuk menilai semula bentuk hukuman serta kaedah penguatkuasaan agar lebih tegas dan berkesan.

“Dalam masa yang sama, aktiviti pembakaran terbuka secara haram yang berterusan turut memberi kesan kepada anggota bomba dan penyelamat yang terpaksa berdepan dengan situasi berbahaya akibat tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu.

“Antara punca utama kejadian pencemaran bau toksid dikenal pasti termasuk longgokan sampah haram dan e-waste, pembakaran terbuka bagi tujuan pertanian, kebakaran semula jadi akibat musim panas El-Nino, serta aktiviti pembakaran kabel yang dicuri bagi mendapatkan hasil tembaga (copper),” jelasnya.

Situasi ini, ujar beliaui, seolah-olah menunjukkan bahawa tiada tindakan yang benar-benar ampuh diambil oleh pihak berkuasa dalam menangani isu tersebut, sekali gus menyebabkan rakyat di sekitar Kuala Langat terus menjadi mangsa pencemaran.

“Pelbagai aduan telah dikemukakan oleh rakyat, malah isu ini juga telah dibawa oleh wakil rakyat ke dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkali-kali.

“Difahamkan perkara ini turut dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa tindakan daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT), namun hasilnya masih dianggap hambar,” katanya.

Menurut Dr Ahmad Yunus lagi, rakyat Selangor kini dilihat semakin hilang sabar dan muak dengan situasi yang berlarutan tanpa penyelesaian konkrit.

“Mereka berpendapat bahawa rakyat berhak untuk menikmati persekitaran yang bersih dan selamat,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan gar pihak berkuasa mengambil tindakan yang lebih bertanggungjawab, telus dan bersepadu secara berterusan dengan penguatkuasaan yang lebih tegas.

“Selain itu, hukuman yang lebih setimpal termasuk cadangan rampasan tanah terhadap pemilik yang degil perlu dipertimbangkan,” tegasnya.

Beliau turut menekankan bahawa alasan pemilik tanah bahawa mereka tidak mengetahui aktiviti haram yang berlaku di atas tanah milik mereka tidak seharusnya dijadikan alasan untuk terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Hakikatnya, kegiatan jenayah seperti ini tidak dilakukan secara terang-terangan pada waktu siang, sebaliknya mengambil peluang atas kelekaan pihak berkuasa.

“Oleh itu, tindakan lebih proaktif dan menyeluruh amat diperlukan bagi memastikan isu pencemaran ini dapat ditangani secara berkesan dan berpanjangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/4/2026

- Advertisement -