
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap situasi dunia yang semakin tidak menentu susulan faktor geopolitik yang berisiko mencetuskan peperangan, dan berharap kerajaan membuat persiapan awal bagi mendepani cabaran mendatang.
Baginda bertitah, beberapa sektor utama negara dijangka terkesan termasuk industri asas seperti pembuatan, pembinaan dan logistik, selain bekalan barangan keperluan asas seperti stok makanan.
“Industri pelancongan juga tidak terkecuali daripada impak tersebut, khususnya apabila kos tambang penerbangan meningkat akibat ketidaktentuan global,” titah Baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Baginda menegaskan kepentingan kesepakatan antara pemimpin dan rakyat dalam menghadapi cabaran berkenaan agar ia dapat ditangani dengan baik berasaskan perpaduan serta persefahaman yang kukuh, meskipun masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya.
“Pemimpin masyarakat dan ahli politik perlu memainkan peranan membantu rakyat dan tidak mengambil kesempatan atas krisis ini sehingga boleh memecahbelahkan perpaduan,” titah Baginda.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan hasrat agar negeri Selangor kekal sebagai negeri yang tahan uji dalam mendepani pelbagai krisis yang melanda.
Dalam pada itu, Baginda menyeru semua pihak agar mengamalkan langkah berjimat-cermat dalam menghadapi keadaan ekonomi semasa yang mencabar.
“Kenaikan harga minyak dan gas dunia serta kekurangan bekalan akibat konflik di Timur Tengah memberi kesan langsung kepada negara, sekali gus menyebabkan peningkatan harga bahan api dan barangan keperluan, yang akhirnya meningkatkan kos sara hidup rakyat,” ujar baginda.
Sehubungan itu, Baginda menitahkan kerajaan negeri supaya memberi keutamaan sepenuhnya kepada perbelanjaan keperluan asas bagi membantu meringankan beban rakyat.
“Segala bentuk pembaziran hendaklah dielakkan dan setiap sen yang dibelanjakan mestilah memberi faedah sepenuhnya kepada rakyat terutama yang terjejas dan memerlukan bantuan,” titah Baginda.
Baginda menegaskan bahawa kebajikan rakyat perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan dasar kerajaan negeri.
Terdahulu, konflik berpanjangan di rantau Timur Tengah seperti di Gaza serta ketegangan antara kuasa besar dunia telah memberi kesan rantaian kepada ekonomi global, termasuk gangguan rantaian bekalan, peningkatan harga tenaga dan inflasi yang menekan banyak negara membangun.
Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka turut terdedah kepada impak luaran ini, khususnya dalam sektor import makanan, bahan api dan komponen industri.
Kebergantungan kepada perdagangan antarabangsa menjadikan negara mudah terkesan apabila berlaku gangguan logistik atau kenaikan kos pengangkutan global.
Selain itu, kesan pasca COVID-19 juga masih mempengaruhi proses pemulihan ekonomi, dengan banyak negara bergelut menstabilkan harga barangan dan kadar inflasi.
Dalam keadaan ini, isu kos sara hidup menjadi antara kebimbangan utama rakyat, termasuk di negeri Selangor yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara. – HARAKAHDAILY – 20/4/2026











