
KUALA TERENGGANU: Tahap kesejahteraan rakyat di Terengganu terus menunjukkan peningkatan selari dengan pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih kukuh sepanjang tahun lalu.
Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, perkembangan itu membuktikan dasar serta strategi pembangunan yang dilaksanakan kerajaan memberi kesan positif terhadap kehidupan rakyat.
“Alhamdulillah, bersyukur juga kita ke hadrat Ilahi kerana sehingga hari ini, setelah melalui fasa perubahan pentadbiran, ekonomi dan bencana alam, Negeri Terengganu masih utuh, aman dan harmoni,” titah baginda di Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurut baginda, Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menjadi penanda aras penting dalam mengukur kualiti hidup rakyat dari sudut ekonomi dan sosial.
Titah baginda, indeks berkenaan meningkat sebanyak 0.5 peratus pada tahun 2024 berbanding 2023, sekali gus mencerminkan peningkatan kesejahteraan masyarakat hasil pelaksanaan dasar kerajaan.
Pada masa sama, ekonomi Terengganu turut merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus pada 2024 dengan nilai RM39.9 bilion, berbanding pertumbuhan 2.2 peratus bernilai RM38.2 bilion pada tahun sebelumnya.
“Sektor perkhidmatan kekal menjadi penyumbang terbesar kepada KDNK negeri iaitu sebanyak 51.9 peratus, diikuti sektor pembuatan 36.6 peratus serta sektor pembinaan sebanyak 17.5 peratus,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 20/4/2026











