
SHAH ALAM: Pelaksanaan pakej ekonomi berjumlah RM130.4 juta bagi menangani tekanan kos sara hidup rakyat yang diumumkan Kerajaan Negeri Selangor dilihat sebagai masih belum menyentuh beberapa isu utama rakyat secara menyeluruh.
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, isu berkenaan termasuklah beban kos perumahan yang semakin tinggi, tekanan terhadap peniaga kecil dan perusahaan mikro akibat kenaikan kos operasi, keperluan pengangkutan awam yang lebih adil bagi kawasan luar bandar seperti Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor, serta keperluan memperkukuh sekuriti makanan negeri melalui rantaian bekalan yang lebih stabil, kemudahan penyimpanan moden dan sokongan mampan kepada petani, nelayan serta pengusaha akuakultur.
Menurutnya, PAS Selangor menghargai usaha tersebut sebagai satu langkah awal membantu rakyat menghadapi suasana ekonomi yang semakin mencabar, khususnya dalam suasana ketidaktentuan global yang semakin meruncing.
“Namun, pakej ini masih dilihat bersifat reaktif, terhad, dan belum menyentuh akar sebenar masalah ekonomi rakyat negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, Selangor ialah penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara sebanyak 26.2 peratus.
“Bantuan sekali beri tidak cukup untuk menghadapi inflasi berpanjangan. Apa yang diperlukan ialah pelan ketahanan ekonomi rakyat yang berstruktur dan berjangka panjang,” tegasnya.
Beliau juga mendedahkan bahawa Belanjawan Selangor 2026 berjumlah RM3.23 bilion, namun pakej bantuan RM130.4 juta ini hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan kemampuan fiskal negeri.
“Sedangkan rakyat sedang berdepan kenaikan kos makanan, sewaan rumah, pengangkutan dan utiliti yang berterusan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras.
Sehubungan itu, PAS Selangor juga ingin menarik perhatian bahawa negeri ini memiliki rizab yang besar, namun ketika rakyat bergelut dengan tekanan hidup harian, pendekatan terlalu berhati-hati dalam berbelanja tidak lagi memadai.
“Dana awam mesti diterjemah kepada perlindungan rakyat yang nyata,” katanya.
Beliau juga menyatakan, PAS Selangor turut menekankan bahawa golongan M40 bandar kini antara paling terhimpit.
“Mereka (M40)tidak layak menerima bantuan, namun dalam masa yang sama terpaksa menanggung kos hidup yang tinggi. Golongan ini tidak boleh terus dipinggirkan dan perlu diberikan perhatian,” tegasnya lagi.
Justeru, Dr. Ab. Halim menyatakan, berteraskan prinsip Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), PAS Selangor tidak melihat isu ini sebagai ruang pertikaian politik semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Sehubungan itu, ujar beliau, PAS Selangor mengemukakan beberapa cadangan konstruktif untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri yang termasuklah merangka Pelan Tindakan Kos Sara Hidup Selangor 2030 yang berasaskan data, bersasar dan berimpak tinggi.
“Selain itu, memperluas jaringan perlindungan sosial serta bantuan bersasar kepada golongan M40 bandar yang
terhimpit.
“(Juga) Melaksanakan dasar penstabilan sewaan dan memperkukuh ekosistem perumahan mampu milik yang benar-benar boleh dimiliki rakyat,” jelasnya.
Tambah beliau, tiga langkah lain ialah memperkasa subsidi pengangkutant awam serta meningkatkan jaringan mobiliti bagi kawasan luar bandar dan separa bandar; memacu pelaburan strategik dalam sekuriti makanan negeri, rantaian bekalan dan tenaga boleh diperbaharui; dan mempertingkat pendapatan isi rumah melalui penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, latihan kemahiran dan pembangunan keusahawanan mampan.
Mengulas lanjut beliau berkata, PAS Selangor juga bersedia untuk bekerjasama secara konstruktif dengan Kerajaan Negeri dan semua pihak berkepentingan dalam merangka penyelesaian yang lebih berkesan dan menyeluruh.
“Dalam menghadapi krisis global yang mencabar ini, keutamaan seharusnya bukanlah pada persaingan politik yang sempit, tetapi kebersamaan dalam mencari jalan keluar terbaik untuk rakyat.
“Cabaran hari ini bukan biasa. Ia melibatkan tekanan global yang memberi kesan terus kepada kehidupan rakyat. Justeru, penyelesaiannya juga tidak boleh biasa. Ia memerlukan keberanian dasar, keikhlasan politik, dan kebersamaan semua pihak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa PAS Selangor komited untuk terus memainkan peranan sebagai pengimbang yang bertanggungjawab, bukan sekadar mengkritik, tetapi menawarkan solusi. – HARAKAHDAILY 20/4/2026











