
KUALA TERENGGANU: Terengganu merekodkan nilai pelaburan sebanyak RM6 bilion pada 2025 sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai antara destinasi utama pelaburan negara.
Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, pencapaian itu didorong terutamanya oleh sektor pembuatan yang semakin berkembang di negeri berkenaan.
Baginda bertitah, pada 2024 sahaja, jumlah pelaburan yang direkodkan adalah sebanyak RM3.178 bilion, manakala secara kumulatif sejak 2022, Terengganu berjaya menarik pelaburan melebihi RM9.8 bilion merangkumi pelbagai sektor industri.
“Negeri Terengganu terus mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi utama pelabur khususnya dalam sektor tenaga dan pembuatan.
“Sehingga Disember 2025, nilai pelaburan komited telah mencapai RM6 bilion,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Tengku Muhammad bertitah, ekosistem mesra pelabur yang lebih komprehensif perlu dibangunkan bagi menarik lebih banyak pelaburan tempatan dan asing ke negeri itu.
Menurut Baginda, pendekatan pusat sehenti atau one-stop center yang memanfaatkan sistem digital serta kecerdasan buatan (AI) mampu mengurangkan kerenah birokrasi, terutama dalam proses kelulusan kebenaran merancang dan pelan bangunan oleh pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, Baginda bertitah, kerajaan negeri juga perlu meneliti insentif bukan fiskal serta memperkukuh kerjasama antara industri dan institusi pendidikan tempatan bagi menyediakan tenaga kerja mahir yang memenuhi kehendak pasaran semasa.
“Kestabilan polisi dan tadbir urus adalah asas kepada persekitaran pelaburan yang stabil dan mesra perniagaan.
“Dasar sedia ada perlu ditambah baik bersama perancangan dasar baharu yang menepati kehendak industri,” titah Baginda. – HARAKAHDAILY 20/4/2026











