‘Pergiat naik taraf infra pelancongan, perluas promosi’

Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra menyeru kerajaan negeri agar terus mempergiat usaha menaik taraf kemudahan pelancongan serta memperluaskan promosi selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Baginda bertitah, negeri Kelantan memiliki keunikan tersendiri dari segi alam semula jadi, warisan budaya serta gastronomi yang mampu menjadi tarikan utama pelancong dalam dan luar negara.

- Advertisement -

Dalam masa sama, Baginda turut menegaskan bahawa sistem pendidikan yang holistik dan seimbang perlu terus diperkasakan melibatkan pendidikan arus perdana, pendidikan agama serta kemahiran.

“Hal ini penting bagi melahirkan modal insan yang berkualiti serta kukuh pegangan rohani dan nilai akhlaknya,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Selain itu, Pemangku Raja Kelantan turut menzahirkan keprihatinan terhadap tahap kesihatan fizikal dan mental rakyat di negeri ini.

Baginda bertitah kerajaan negeri perlu mewujudkan platform sokongan psikologi, sosial dan kerohanian yang lebih menyeluruh, selain menyediakan persekitaran kondusif termasuk taman rekreasi serta kemudahan sukan.

Baginda turut menekankan keperluan memperluas capaian pusat kaunseling komuniti serta memperkasa institusi agama sebagai antara instrumen kesejahteraan rakyat.
“Langkah ini penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara secara menyeluruh,” titah Baginda.

Dalam perkembangan lain, Pemangku Raja Kelantan turut menegaskan kepentingan tadbir urus yang cekap, telus dan berintegriti dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Baginda menasihatkan penjawat awam supaya terus meningkatkan produktiviti serta memastikan penyampaian perkhidmatan dilaksanakan dengan berkesan.

Menurut Baginda, keyakinan rakyat dan pelabur terhadap pentadbiran negeri perlu sentiasa dipelihara dengan memastikan ia bebas daripada isu rasuah serta pelanggaran integriti.
“Pemerkasaan konsep Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan (UMI) perlu diterapkan dengan lebih mendalam dalam kalangan penjawat awam,” titah Baginda. – HARAKAHDAILY 20/4/2026

- Advertisement -