Pembangkang dituduh tak peduli, Exco gagal jawab

- Advertisement -

IPOH: Pembangkang Dewan Negeri Perak mempersoalkan kegagalan Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong, menjawab persoalan pokok rakyat berkaitan isu kos sara hidup.

Menurut kenyataan itu, rakyat tidak mempertikaikan kemungkinan peningkatan kos, namun mempersoalkan kadar kenaikan yang disifatkan melampau sehingga mencecah 136 peratus.

- Advertisement -

“Sebagai perbandingan, konflik Iraq–Amerika Syarikat sekitar tahun 2008 pernah memberi kesan besar kepada harga minyak dunia, namun kenaikan ketika itu tidaklah setinggi dan seburuk apa yang berlaku pada era pentadbiran hari ini,” menurut kenyataan itu, di sini, hari ini.

Kenyataan itu turut menyebut inflasi bagi beberapa kumpulan utama barangan dan perkhidmatan meningkat dan dijangka terus membengkak.

“Adakah hanya cukup memperbanyakkan Jualan Rahmah sahaja? Jika fakta asas berkaitan isu kos sara hidup dan harga minyak pun tidak jelas, bagaimana rakyat mahu yakin dengan hujah dan dasar yang dibawa oleh kerajaan?” soal mereka.

Pembangkang turut mempersoalkan kadar kenaikan harga minyak di Malaysia yang disifatkan antara tertinggi di dunia iaitu sekitar 136.9 peratus.

“Mengapa negara seperti Indonesia, yang juga merupakan ‘net importer’ minyak, mampu mengawal kenaikan sekitar 5.5 peratus, tetapi Malaysia mengalami kenaikan yang begitu mendadak?” soal kenyataan itu lagi.

Menurut mereka, jika negara lain mampu melindungi rakyat melalui dasar yang tersusun, berstrategi dan telus, persoalannya mengapa kerajaan Malaysia gagal melakukannya.

Pembangkang menegaskan, rakyat tidak meminta subsidi secara membuta tuli, sebaliknya menuntut dasar yang adil, telus serta jawapan munasabah daripada kerajaan dalam isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian.

Dalam pada itu, Pembangkang Dewan Negeri Perak turut menyatakan rasa kecewa dan tidak berpuas hati terhadap cara sidang Dewan Negeri dikendalikan oleh Timbalan Speaker.

Menurut kenyataan itu, pihak pembangkang tidak diberikan laluan sewajarnya untuk bersuara dan mempertahankan hujah ketika penggulungan Exco yang pertama daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar itu.

“Tindakan tersebut jelas mencetuskan persoalan besar mengenai prinsip keadilan dan kebebasan bersuara dalam institusi demokrasi negeri.

“Dewan Negeri seharusnya menjadi medan semak dan imbang yang matang, bukan medan yang menyekat suara wakil rakyat pembangkang daripada menjalankan tanggungjawab mereka,” menurut kenyataan itu.

Mereka turut memandang serius kenyataan Woo yang menyatakan pembangkang tidak serius dalam membawa isu kos sara hidup.

Kenyataan itu disifatkan sebagai tidak tepat, tidak adil dan memperlekehkan peranan pembangkang.

“Hakikatnya, kesemua Ahli Dewan Negeri Pembangkang telah membawa isu kos sara hidup secara langsung dan tidak langsung.

“(Ia) termasuk menyentuh soal harga barang, kos utiliti, harga makanan serta tekanan ekonomi yang dihadapi rakyat hari ini,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, pembangkang menegaskan akan terus memperjuangkan isu kos sara hidup rakyat, menuntut jawapan jelas serta memastikan suara rakyat tidak disekat di dalam Dewan.

Mereka turut memohon Speaker Dewan Negeri menasihati Timbalan Speaker agar mengendalikan sidang dengan lebih profesional, adil dan menghormati hak semua Ahli Dewan Negeri tanpa mengira blok politik. – HARAKAHDAILY 20/4/2026

- Advertisement -