Pemangku Raja titah perkasa infrastruktur Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra bertitah agar pembangunan infrastruktur di negeri ini terus diperkasa supaya tidak ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.

Titah Baginda, pelaksanaan projek strategik seperti Kota Bharu Sentral dan integrasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu diteruskan dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

- Advertisement -

Baginda turut menzahirkan rasa sukacita atas pengoperasian Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra yang telah siap dinaik taraf sepenuhnya.

“Beta amat berharap agar kerajaan negeri mengambil berat terhadap perancangan dan pelaksanaan infrastruktur di negeri ini dengan pelibatan langsung kerajaan Persekutuan,” titah Baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Baginda bertitah supaya sektor ekonomi berimpak tinggi terus diperkasakan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negeri, antaranya pembangunan Tok Bali Industrial Park yang berpotensi menjadi hab perindustrian baharu yang mampu menarik pelaburan dalam sektor pembuatan, pemprosesan makanan, logistik dan industri marin.

Menurut Baginda, peluang yang terhasil daripada pembangunan kawasan industri baharu itu wajar direbut oleh setiap lapisan rakyat.

Dalam masa sama, Baginda menyeru seluruh pihak terus meningkatkan keupayaan ekonomi negeri dalam berdepan cabaran global yang semakin kompleks. – HARAKAHDAILY 20/4/2026

- Advertisement -