
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri disaran merangka strategi pembangunan ekonomi baharu dengan memberi tumpuan kepada aktiviti industri hiliran bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hasil royalti petroleum yang tidak menentu.
Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, langkah itu selari dengan strategi dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 yang dilancarkan Kerajaan Persekutuan.
Menurut Baginda, transformasi struktur ekonomi itu penting bagi mengurangkan kebergantungan pendapatan negeri terhadap hasil royalti petroleum yang tidak menentu.
“Beta percaya, transformasi struktur ekonomi ini amat penting bagi mengurangkan kebergantungan pendapatan negeri kepada hasil royalti petroleum yang tidak menentu dan mengurangkan jurang pembangunan antara daerah.
“Dengan mewujudkan ekosistem industri hiliran, Terengganu akan dapat mengukuhkan rantaian nilai ekonomi negeri melalui penghasilan produk, peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan negeri yang lebih stabil,” titah Baginda.
Baginda bertitah di Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Titah Baginda, pembangunan kluster industri hiliran juga mampu menarik pelaburan bernilai tinggi dan mempercepat pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi.
“Usaha ini sekali gus menjadikan Terengganu sebagai negeri mampan dan berdaya saing menjelang 2030 selaras dengan matlamat Transformasi Ekonomi Baharu Terengganu (TNEXT),” titah Tengku Muhammad.
Pada masa sama, Baginda bertitah pembangunan tidak seimbang antara daerah perlu diberi perhatian kerana kawasan seperti Kemaman yang mempunyai kelebihan sektor industri berkembang lebih pesat berbanding daerah lain.
Menurut Baginda, jurang pendapatan isi rumah antara kawasan bandar dan luar bandar turut berlaku disebabkan aktiviti ekonomi yang terhad untuk menjana pendapatan.
“Perkara ini perlu ditangani dengan baik supaya tidak menimbulkan kesan sosio-ekonomi yang serius,” titah Baginda. – HARAKAHDAILY 20/4/2026











