Kemiskinan mutlak turun kepada 4.8% di Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Insiden kemiskinan mutlak di Terengganu menunjukkan trend penurunan daripada 6.2 peratus pada 2022 kepada 4.8 peratus pada 2024, sekali gus menggambarkan keberkesanan dasar serta inisiatif kerajaan negeri dalam membasmi kemiskinan.

Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, meskipun Purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negeri meningkat daripada RM2,751 pada 2022 kepada RM2,841 pada 2024, usaha berterusan perlu diteruskan.

- Advertisement -

“Beta mengharapkan agar usaha berterusan ini akan terus dilaksana bagi memastikan tiada rakyat yang masih tercicir dan dibelenggu kemiskinan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Tengku Muhammad bertitah, peningkatan PGK sebanyak 3.23 peratus dalam tempoh dua tahun itu menggambarkan kos sara hidup isi rumah di negeri berkenaan yang semakin meningkat susulan tekanan inflasi.

Dalam pada itu, Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap penurunan 0.5 peratus subkomposit sosial dalam Indeks Kesejahteraan Rakyat Negeri Terengganu 2024 berbanding tahun sebelumnya.

Titah Baginda, keadaan itu menunjukkan institusi keluarga yang tidak seimbang boleh menjadi punca kepada pelbagai masalah sosial yang lebih besar.

“Institusi keluarga merupakan tunjang utama dalam struktur sosial yang berfungsi sebagai medium untuk memenuhi keperluan sosial, ekonomi dan psikologi individu.

“Kestabilan institusi keluarga serta ‘work-life balance’ perlu dititikberatkan kerana ia boleh menjadi halangan dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan di samping cabaran penggunaan gajet seawal usia kanak-kanak yang semakin membimbangkan,” titah Baginda.

Menyentuh soal perumahan, baginda memaklumkan kerajaan negeri sudah membina sebanyak 12,559 unit Rumah Mampu Milik di Terengganu sejak 2018 hingga Januari lalu, manakala 3,798 lagi unit kini berada pada peringkat perancangan.

Bagaimanapun, indikator perumahan dalam Indeks Kesejahteraan Rakyat menunjukkan penurunan 1.9 peratus pada 2024 berbanding 2023.

“Antara faktor yang mempengaruhi peratusan penurunan ini adalah antaranya keupayaan untuk memiliki kediaman yang semakin berkurang dan jumlah penawaran unit rumah kepada bilangan isi rumah B40.

“Beta berharap usaha untuk menyediakan kemudahan kediaman yang baik dan selesa akan dipergiatkan dan seterusnya dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat untuk jangka masa panjang terutama bagi golongan berpendapatan rendah,” titah Baginda. – HARAKAHDAILY 20/4/2026

- Advertisement -