Kelantan kedua tertinggi pengusaha ternakan lembu, kerbau

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan muncul sebagai negeri kedua tertinggi di negara ini selepas Terengganu dari segi bilangan pengusaha ternakan lembu dan kerbau, sekali gus membuktikan sektor penternakan ruminan terus menjadi antara penyumbang penting ekonomi negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, berdasarkan Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah pengusaha ternakan lembu dan kerbau di Kelantan direkodkan seramai 4,825 orang.

- Advertisement -

Menurutnya, bagi kategori pengusaha kambing dan bebiri pula, jumlah yang direkodkan ialah seramai 2,973 orang.

“Keadaan ini jelas menunjukkan Kelantan berada dalam kelompok negeri teratas di Malaysia dari segi penglibatan rakyat dalam aktiviti penternakan ruminan.

“Selain penternak komersial, unjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan turut mengambil kira penternak kecil-kecilan dan hobi, termasuk penternak lembu sado,” katanya ketika merasmikan Sesi Libat Urus Bancian Ternakan Ruminan Negeri Kelantan Tahun 2026 di Dewan Gelanggang Seni, di sini.

Menurut beliau, berdasarkan unjuran jabatan, jumlah keseluruhan penternak ruminan di negeri ini dianggarkan sekitar 32,000 orang.

Tambahnya, angka itu jauh lebih tinggi berbanding data komersial semata-mata dan memberi gambaran sebenar penglibatan rakyat dalam sektor penternakan.

“Ini menunjukkan sektor ternakan ruminan di Kelantan mempunyai potensi besar untuk terus diperkasa melalui perancangan yang lebih tersusun,” katanya.

Justeru, ujar beliau, bancian yang dilaksanakan amat penting bagi mendapatkan data tepat berkaitan populasi ternakan, lokasi ladang, status penternak serta amalan penternakan di lapangan.

“Data yang lengkap dan berintegriti akan membantu kerajaan negeri dalam aspek pembangunan industri, pengurusan penyakit, penyaluran bantuan dan pemantauan program jabatan secara lebih berkesan,” katanya – HARAKAHDAILY 20/4/2026

- Advertisement -