
KOTA BHARU: Isu anak-anak muda yang menjadikan kawasan lapangan terbang sebagai lokasi berkumpul dan ‘healing’ tidak seharusnya dilihat secara sempit, sebaliknya perlu ditangani melalui penyediaan alternatif aktiviti sihat serta pengukuhan ekonomi belia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saizol Ismail berkata, perkara itu timbul sejak peringkat awal pembukaan semula lapangan terbang berkenaan dan sebahagiannya dipengaruhi keterujaan orang ramai terhadap seni bina serta konsep baharu fasiliti tersebut.
Menurut beliau, sendiri telah berhubung dengan pihak pengurusan lapangan terbang sebaik isu itu mula dibangkitkan.
“Saya sendiri berhubung awal-awal lagi apabila isu ini timbul dan bertanya kepada pihak pengurusan lapangan terbang sama ada benar wujud isu tersebut.
“Sebenarnya ada isu itu, cuma ia masih lagi dimainkan oleh media. Pada masa sama, kita melihat ia juga lahir daripada keterujaan anak-anak muda dengan seni bina, kemajuan dan konsep lapangan terbang kita sendiri,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa kehadiran orang ramai dari pelbagai tempat ke lokasi itu menunjukkan tarikan yang ada, namun imej anak muda Kelantan juga perlu dipelihara agar tidak dipandang negatif.
Tambahnya, kerajaan negeri juga difahamkan sedang merangka program dan alternatif lain untuk golongan belia melalui portfolio belia di peringkat negeri.
“Insya-Allah saya dimaklumkan ada program ataupun alternatif di peringkat negeri melalui portfolio belia sendiri.
“Bagi saya, soal hiburan dan ruang santai itu satu aspek, tetapi yang lebih saya beri perhatian ialah bagaimana kita mahu membangunkan ekonomi anak muda,” ujarnya.
Beliau berkata, fokus utama ketika ini ialah menggalakkan anak-anak muda terlibat secara serius dalam sektor pekerjaan dan pembangunan ekonomi secara berkelompok.
“Pendekatan yang diambil bukan sekadar bantuan sekali beri, sebaliknya membina kemahiran dan minat yang boleh menjana pendapatan jangka panjang.
“Dalam DUN sendiri, saya cuba berinteraksi dengan NGO dan kelompok anak muda supaya mereka diberi galakan untuk bekerja secara serius.
“Kita tidak mahu sekadar beri sumbangan one-off semata-mata, tetapi biar mereka ada kemahiran dan minat tertentu yang boleh dibangunkan,” jelasnya.
Tambah beliau, antara fokus yang sedang diberi perhatian ialah penubuhan koperasi serta pembangunan sektor agro, penternakan dan pertanian yang melibatkan golongan muda.
Katanya, di kawasan Salor, kekangan tanah pertanian menjadi cabaran utama kerana kawasan yang sesuai lebih tertumpu di rizab sungai dan bersifat sementara.
“Di Salor, kita tidak mempunyai banyak kawasan pertanian kecuali di kawasan rizab sungai.
“Jadi konsep pertanian yang boleh dibuat lebih kepada pertanian sementara dan bukan jangka panjang. Itu antara cabaran yang kita hadapi,” katanya.
Mengulas maklum balas daripada anak muda di kawasannya, beliau berkata setakat ini kebanyakan aduan dan cadangan yang diterima lebih tertumpu kepada isu infrastruktur serta bantuan untuk usaha kecil yang sedang dijalankan.
“Setakat ini, maklum balas yang paling banyak saya terima ialah berkaitan isu infrastruktur dalam DUN serta bantuan bagi mereka yang sudah memulakan usaha masing-masing,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/4/2026











