Tangguh Sidang DUN Perlis mengejut, ADUN tuntut penjelasan

- Advertisement -

KANGAR: Enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis mendesak kerajaan negeri memberikan penjelasan segera dan telus berhubung keputusan penangguhan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibuat secara mengejut, semalam.

Mereka daripada PAS itu menyifatkan tindakan itu sebagai tidak munasabah dan tidak mencerminkan semangat musyawarah, memandangkan keputusan berkenaan dibuat hanya tiga hari sebelum sidang sepatutnya berlangsung.

Gesaan itu dibuat susulan pekeliling rasmi daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perlis bertarikh 17 April 2026 yang memaklumkan penangguhan Majlis Istiadat Perasmian Penggal Persidangan Keempat dan Mesyuarat Pertama bagi DUN Perlis Ke-15.

Melalui surat rujukan SUK.Ps. 05/463 JLD.26 (51) yang ditandatangani oleh Setiausaha DUN, Ts Mohd Anwar Sahul Hameed, persidangan yang dijadualkan pada 21 hingga 23 April ini ditangguhkan ke suatu tarikh baharu yang akan ditetapkan kelak.

Diketuai ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli berkata, tindakan penangguhan itu menimbulkan pelbagai persoalan dan spekulasi kerana dilakukan dalam tempoh yang terlalu singkat selepas kad jemputan rasmi diedarkan pada 9 April lalu.

“Penangguhan ini tidak sepatutnya berlaku kerana banyak isu penting rakyat memerlukan penjelasan di dalam dewan, antaranya termasuklah isu pelaburan negeri, isu tanah, pertukaran pegawai, pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Padang Besar serta persiapan Temasya SUKMA.

“Malah, ada dalam kalangan ADUN yang telah menangguhkan jadual penerbangan haji semata-mata untuk memberi laluan kepada persidangan ini. Penangguhan tanpa penjelasan rasmi mahupun perbincangan awal bersama semua ADUN adalah sangat mengecewakan,” katanya.

Selain Mohd Shukri, kenyataan itu turut disokong oleh Ustaz Muhammad Azmir Azizan (ADUN Santan), Ustaz Asrul Aimran Abdul Jalil (ADUN Kayang), Razali Saad (ADUN Simpang Empat), Wan Badariah Wan Saad (ADUN Mata Ayer) dan Haziq Asyraf Dun (ADUN Beseri).

Menurut kenyataan enam ADUN itu lagi, insiden penangguhan persidangan secara mendadak sedemikian tidak pernah berlaku dalam sejarah pentadbiran DUN Perlis sebelum inidi mana kini diketuai Menteri Besar dari BERSATU.

Mereka turut menegaskan bahawa sebarang keputusan pentadbiran negeri tidak seharusnya menimbulkan persepsi negatif atau dikaitkan dengan tindakan yang tidak dijelaskan dengan baik kepada wakil rakyat.

“Kami mendesak agar pihak bertanggungjawab tampil memberikan penjelasan segera dan telus demi menjaga kepercayaan rakyat serta keluhuran institusi pentadbiran negeri ini,” tegas kenyataan itu.

Setakat ini, pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis belum mengeluarkan sebarang perincian lanjut mengenai punca sebenar penangguhan majlis istiadat dan mesyuarat berkenaan. – HARAKAHDAILY 18/4/2026

- Advertisement -

- Advertisement -