Kesungguhan Rafizi #TangkapAzamBaki dipersoal Syahir

Syahir nak lihat warna baju akan dipakai Rafizi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penolong Setiausaha Agung PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman mempersoalkan bekas Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli berhubung kesungguhan dan sikap sebenarnya terhadap kempen ‘Tangkap Azam Baki’.

Syahir membangkitkan persoalan itu susulan Rafizi kini mengajak rakyat untuk mempamerkan ‘keberanian sebenar’ dalam himpunan #TangkapAzamBaki yang dijadualkan berlangsung di Ibu Negara pada 25 April nanti.

Mengulas kempen tersebut, Syahir menyifatkan Rafizi sebagai pemimpin yang pernah menjulang slogan “Tangkap Azam Baki” sebelum memegang jawatan menteri, namun setelah itu dilihat berada dalam dilema politik yang ketara.

- Advertisement -

“Ya, ‘Tangkap Azam Baki’ adalah slogan yang pernah dilaungkan Rafizi sebelum bergelar Menteri. Namun, setelah berada dalam kabinet, beliau seolah-olah ‘terpaksa’ membisu apabila kontrak Azam Baki disambung semula oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Tan Sri Azam Baki selaku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdepan desakan keras khususnya oleh PKR termasuk dari Anwar sendiri di era selaku pembangkang untuk melepaskan jawatan penting tersebut.

Malah, Azam yang terpalit isu integriti berkait skandal pemilikan saham-saham secara kontroversi turut ‘diancam’ ketika itu secara terbuka akan ditangkap sekiranya parti tersebut menang pilihan raya dan menerajui Kerajaan Pusat.

Ahli Parlimen Bachok itu berkata lagi, Mohd Rafizi merupakan antara aset terbesar dalam PKR yang memiliki pesona dan daya tarikan tersendiri menerusi pelbagai ‘formula’ ekonomi pernah diperkenalkan pemimpin itu sebelum ini.

Beliau berkata, sokongan padu generasi muda (X dan Y) terhadap Pakatan Harapan (PH) dan PKR sebahagian besarnya didorong kepercayaan terhadap janji-janji Rafizi membabitkan isu besar negara seperti NFC, 1MDB, turun harga minyak dan kereta, serta hapus PTPTN.

“Walhasil, PH dan PKR (kemudiannya) diberikan mandat dan Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri. Namun, nasib tidak sentiasa menyebelahi beliau (Azam tidak ditangkap atau dibicarakan malah kontraknya tiga kali diperbaharui).

“Kini, Rafizi berada di posisi berbeza dan tampil sebagai pengkritik tegar kepada kepimpinan ‘PMX Madani’. PKR pula dilihat sedang berkira-kira untuk ‘melupuskan’ aset terbesar mereka itu yang kini dianggap sebagai liabiliti,” jelasnya.

Menyentuh mengenai hasrat Rafizi untuk menggerakkan himpunan pada 25 April ini, Syahir mengalu-alukan hak rakyat untuk berhimpun secara aman di bawah prinsip demokrasi, namun mengingatkan agar ia dijalankan tanpa sebarang provokasi.

Beliau turut membandingkan kejayaan pihak pembangkang dalam mengendalikan perhimpunan berskala besar seperti #BantahICERD dan #TurunAnwar yang berlangsung dengan penuh tertib.

“Dari kejauhan, saya lebih tertarik untuk melihat pilihan warna baju yang akan dipakai oleh Rafizi nanti kerana ia membawa isyarat tersendiri. Jika biru muda, beliau masih setia kepada PKR; jika kuning, bermakna cenderung kepada aktivisme NGO.

“Jika hitam, ia isyarat wadah politik baharu; manakala jika putih, mungkin beliau memilih jalan sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak,” ujarnya Syahir yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS.

Syahir turut menitipkan pesanan ringkas kepada Rafizi agar terus berpegang kepada prinsip perjuangan dengan kata-kata semangat, “Lawan Terus!”; bukan sekadar perjuangan yang bersifat sementara atau sekadar ‘keluar’ sekejap daripada radar politik.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bahawa Rafizi Ramli menyelar kumpulan yang mengadakan demonstrasi secara ‘penakut’ dan menggesa rakyat untuk menyertai protes berkaitan integriti agensi penguatkuasaan negara pada tarikh tersebut. – HARAKAHDAILY 18/4/2026

- Advertisement -