Jangan jadikan institusi ilmu pentas hedonisme

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia menggesa pihak berkuasa dan pengurusan universiti mengambil tindakan tegas tanpa kompromi berhubung pementasan teater yang didakwa tidak sopan serta mencemarkan nilai moral di institusi pengajian tinggi (IPT).

- Advertisement -

Reaksi itu menyusul selepas tularnya rakaman video memaparkan adegan tidak senonoh dalam pementasan teater sempena Karnival Teater (KARVITER) di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini, yang mencetuskan kecaman hebat dalam kalangan warga maya dan masyarakat.

Pengerusi Lajnah Kebudayaan dan Rekreasi, Nuri Muhammad berkata, pihaknya memandang serius insiden tersebut selain menerima makluman awam bahawa kejadian serupa didakwa pernah berlaku di sebuah institusi pengajian awam lain sebelum ini.

Beliau menegaskan, persembahan yang berunsur lucah dan melampaui batas kesopanan adalah tidak boleh diterima sama sekali kerana ia bertentangan dengan nilai Islam, adab, serta budaya ketimuran.

“Universiti bukan sekadar pusat akademik, tetapi medan pembinaan sahsiah dan jati diri generasi muda. Sehubungan itu, tindakan tegas perlu diambil terhadap semua pihak yang terlibat, termasuk penganjur program, pelajar, serta pengarah teater yang bertanggungjawab menghasilkan kandungan tersebut.

“Siasatan menyeluruh perlu dijalankan dan hukuman setimpal mesti dikenakan sebagai pengajaran agar perkara sama tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan akhbar pihak pengurusan UM sebelum ini yang mendakwa saringan kandungan telah dilakukan sebelum kelulusan diberikan, Nuri berkata insiden itu membuktikan terdapat kelemahan ketara dari aspek pemantauan dan penguatkuasaan garis panduan.

“Sepatutnya pihak pentadbiran universiti perlu memantau semasa pementasan berlangsung dan bertindak menghentikan lakonan serta-merta apabila muncul adegan yang tidak terdapat dalam skrip asal,” katanya.

Dalam pada itu, Dewan Muslimat PAS Malaysia turut menzahirkan kebimbangan terhadap penularan budaya hedonisme dalam kalangan pelajar yang mengagungkan hiburan melampau dan kebebasan tanpa batas.

Tegasnya, gaya hidup sedemikian hanya akan merosakkan masa depan generasi muda serta mencabar integriti institusi pendidikan sebagai tempat memupuk ilmu dan adab.

“Semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik, dan masyarakat perlu memainkan peranan bagi memastikan institusi pendidikan tidak menjadi pentas kepada budaya songsang.

“Bak kata kumpulan nasyid Raihan, berhibur tiada salahnya kerana hiburan itu indah, namun ia menjadi salah apabila kita tersilap memilih bentuk hiburan tersebut,” ujarnya lagi.

Terdahulu, pihak pengurusan Universiti Malaya dalam satu kenyataan rasmi telah memohon maaf atas insiden berkenaan dan memaklumkan bahawa jawatankuasa siasatan telah ditubuhkan bagi menyiasat pelanggaran garis panduan oleh penganjur karnival tersebut. – HARAKAHDAILY 18/4/2026

- Advertisement -