‘Biarlah sejarah PKM pupus ikut debu mayat Chin Peng’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Komunis Malaya (PKM) yang pernah mencetuskan keganasan di negara ini wajar dilupakan sepenuhnya dan tidak seharusnya diberikan sebarang bentuk pengiktirafan sebagai pejuang kemerdekaan.

Pemerhati politik, Roslan Shahir Mohd Shahir mengingatkan bahawa sejarah hitam penglibatan PKM merangkumi dua fasa utama iaitu Darurat Tanah Melayu (1948-1960) dan Pemberontakan Komunis Kedua (1967-1989).

Beliau menegaskan, rakyat Malaysia khususnya generasi pra dan pasca-Merdeka mempunyai sebab kukuh untuk membenci ideologi tersebut kerana matlamat PKM bukan sekadar menghalau penjajah, tetapi menubuhkan sebuah Republik Rakyat Komunis.

“Walaupun negara telah mencapai kemerdekaan, mereka terus memerangi Kerajaan Malaysia yang ditadbir anak bangsa sendiri. Rekod sejarah menunjukkan ribuan nyawa terkorban angkara PKM yang bernaung di bawah sayap militan Malayan National Liberation Army (MNLA).

“Sepanjang tempoh 1948 hingga 1960 sahaja, seramai 1,346 anggota pasukan keselamatan serta 2,478 orang awam menjadi mangsa. Malah, kajian menunjukkan jumlah keseluruhan kematian sehingga tahun 1989 mencecah 11,000 orang termasuk pihak pengganas,” katanya.

Beliau dipercayai memberi reaksi ke atas kenyataan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang menggesa Kementerian Dalam Negeri menarik balik larangan ke atas dua buah buku berkaitan PKM dengan mengatakan bahawa langkah itu tidak wajar.

Mengulas lanjut, Roslan Shahir berkata, kekejaman PKM turut melibatkan pembunuhan profil tinggi termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Ismail yang ditembak di Kuala Lumpur dan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong di Ipoh.

Beliau turut mempersoalkan kesetiaan Setiausaha Agung PKM, Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua yang sehingga akhir hayatnya tidak pernah menyesali tindakan mengetuai pemberontakan bersenjata terhadap negara.

“Chin Peng sebahagian besar hidupnya bergerak mewah di luar negara seperti Beijing dan Bangkok dengan pengiktirafan pihak asing, manakala tentera suruhannya dikerah bertempur di dalam hutan.

“Justeru, tindakan kerajaan mengharamkan sebarang memoir atau buku yang cuba menghalalkan perjuangan mereka atau mengangkat mereka sebagai pejuang kemerdekaan adalah sangat wajar,” tegasnya.

Katanya lagi, seluruh rakyat yang menghargai kedaulatan negara tidak seharusnya memaafkan petualang negara yang telah meninggalkan ribuan balu dan anak yatim melalui jerangkap samar serta peluru mereka.

“Biarlah nama-nama seperti Chin Peng, Rashid Maidin, Abdullah CD dan Shamsiah Fakeh pupus dan hilang daripada lipatan sejarah negara. Biarlah perjuangan mereka hilang sebagaimana debu mayat Chin Peng yang telah dilarutkan alam.

“Marilah kita bersama-sama mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia tercinta,” ujarnya yang juga merupakan anak seorang bekas pegawai tertinggi Polis DiRaja Malaysia terlibat menentang PKM. – HARAKAHDAILY 18/4/2026

- Advertisement -

- Advertisement -