Mansuh peruntukan pegawai khas, salur kepada ADUN

- Advertisement -

IPOH: Ustaz Mohd Fakhrudin Abdul Aziz (PN-Kamunting) mencadangkan supaya peruntukan untuk pegawai khas Menteri Besar dimansuhkan bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri.

- Advertisement -

Beliau berkata, anggaran kos bagi seorang pegawai khas adalah sekitar RM10,000 sebulan dan jika dikira setahun bagi semua pegawai itu, jumlahnya mencecah kira-kira RM3 juta yang boleh dijimatkan.

Menurutnya, penjimatan itu boleh disalurkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak menerima peruntukan seperti mana yang dinikmati oleh pegawai khas.

“Setiap tahun belanjawan dibahas dan diluluskan tetapi mekanisme bantuan kepada rakyat tidak disalurkan kepada wakil yang dipilih oleh rakyat.

“Menteri Besar umum kotak makanan, kita dengarlah tetapi tidak sampai ke pusat khidmat yang menjadi tempat aduan rakyat,” tempelak beliau.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Sultan Perak sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat pada Persidangan Dewan Negeri di Bangunan Darul Ridzuan, di sini semalam.

Beliau berkata, rakyat lebih cenderung mencari ADUN yang mewakili mereka kerana dikenali melalui pilihan raya, berbanding pegawai khas yang tidak dikenali.

Sehubungan itu, beliau berharap Menteri Besar mengembalikan kaedah seperti pada tahun pertama pentadbiran kerajaan negeri, iaitu semua ADUN diberikan peruntukan bagi membantu rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan kerajaan menyemak semula dasar penyasaran subsidi, bukan sahaja melibatkan petrol tetapi juga diesel.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu memperluaskan mekanisme perlindungan kepada rakyat, selain menghargai pengumuman yang dibuat Menteri Besar sebelum ini berkaitan usaha membantu rakyat.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih. Hasil negeri diguna untuk membantu rakyat. Kerajaan negeri perlu juga berjimat cermat. Pendapatan dan keuntungan kerajaan diagih dengan penuh keadilan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2026

- Advertisement -