
KUALA LUMPUR: Mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam keadaan negara tidak berdepan krisis besar memang cadangan yang sukar untuk dipertahankan secara rasional.
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menyindir syor Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong itu sebagai sebagai pelik dan menghairankan kerana negara tidak berdepan pandemik atau isu keselamatan.
“Covid tak ada. Taun tak ada. Malaria pun tak ada. Tiba-tiba ada cadangan nak isytihar darurat, semata-mata nak tangguh PRN? Dulu bukan main lagi marah bila darurat diisytiharkan. Siap jerit ‘demokrasi mati’, ‘Parlimen digantung’, ‘kerajaan takut rakyat’.
“Hari ini, nada sama mula kedengaran dari pihak yang dulu kononnya juara demokrasi. Apa sudah jadi? Bila semua indikator asas negara berada dalam keadaan terkawal, persoalan “takut apa dengan pilihan raya?” itu pasti akan timbul di fikiran rakyat,” katanya.
Menurut beliau, dahulu mereka itu menghentam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) habis-habisan bila darurat diisytiharkan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi hari ini, bila bayang PRN makin hampir, cadangan darurat pula yang timbul.
Ahli Parlimen Bagan Serai itu mengulas Ahli Parlimen Kota Melaka tersebut yang mahu Kerajaan Melaka mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat serta menangguhkan PRN.
“Bukankah kerajaan hari ini dikatakan stabil? Kerjasama UmDAP makin mantap! Sokongan kepada PMX kata semakin kukuh? Ekonomi pula dicanang berkembang 5.2 peratus pada 2025. Inflasi rendah, sekitar 1.4 peratus. Pengangguran turun ke 2.9 peratus.
“Kalau semua ‘baik-baik belaka’, kenapa perlu takut kepada pilihan raya?Atau sebenarnya angka-angka itu hanya manis di atas kertas, tapi pahit dirasai rakyat? Atau mungkin juga, yang semakin tidak stabil bukan negara, tetapi sokongan rakyat?
“Nampaknya prinsip boleh berubah, bila kuasa mula terasa goyah. Rakyat tidak lupa. Rakyat memerhati. Dan rakyatlah hakim negara. Jangan sampai akhirnya, yang dipaku bukan lawan, tetapi diri sendiri kena ‘paku buah keras’,” bidas Ustaz Idris. – HARAKAHDAILY 16/4/2026











