Cadang tangguh pilihan raya: Alasan DAP takut ditolak rakyat

- Advertisement -

ALOR SETAR: Cadangan menangguhkan pilihan raya adalah bukti pemimpin DAP takut ditolak rakyat, demikian tegas Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS itu berkata, tiada alasan untuk pilihan raya perlu ditangguhkan kerana ia bukan satu isu yang besar, malah bukan juga atas alasan darurat.

“Sebenarnya DAP ini takut rakyat akan tolak mereka. Sebab itu mereka cadang begitu. Teruskan sahaja sebab pada pilihan raya itu nanti, rakyat akan tolak DAP,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah menyatakan pandangan itu ketika ditemui media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, mencadangkan agar Kerajaan Melaka mengemukakan petisyen kepada Yang Di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat serta menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) tersebut.

Pemimpin DAP itu juga beralasan penangguhan tersebut kononnya rakyat kini sedang berdepan dengan tekanan kos sara hidup yang meningkat susulan kenaikan harga diesel.

Berikutan itu, perkara tersebut mendapat maklum balas dari ramai pemimpin parti politik di mana masing-masing menganggap cadangan itu sebagai kelemahan DAP mentadbir negara.

Justeru kata Sanusi, sekira rakyat ingin melihat landskap negara berubah, maka DAP perlu dikalahkan pada pilihan raya akan datang. – HARAKAHDAILY 16/4/2026

- Advertisement -

- Advertisement -