
KUALA LUMPUR: DAP mencadangkan supaya diisytiharkan darurat untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah sesuatu yang mustahil dipersetujui Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman percaya Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga melihat ketika ini negara bukan berada dalam krisis yang mengancam keselamatan dan nyawa.
Beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS menyifatkan bahawa DAP cuba hendak mengajar Umno supaya isytihar darurat dan tangguh PRN, konon kerana krisis ekonomi.
Bagaimanapun katanya, adalah mustahil Umno akan mahu mengikuti cakap DAP, kerana pantang orang Melayu jika dipanggil sebagai ‘pak turut’, apatah lagi kepada DAP.
“Lagipun Umno yakin boleh menang besar di Melaka,” ujarnya sebagai reaksi kepada cadangan yang dikemukakan oleh Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong itu.
Ahli Parlimen Kota Melaka itu mahu Kerajaan Melaka mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat serta menangguhkan PRN.
“Sepatutnya kerajaan umum pakej bantuan dan langkah mitigasi, bukan asyik menyalahkan. Urus krisis dengan baik, bukan mengelak daripada menyelesaikan. Ini bukan kali pertama Malaysia dilanda krisis.
“Pernah tahun 1987, 1997, 2008, dan 2020; semuanya ditangani dengan baik. Langkah yang diambil PM terdahulu berjaya melindungi rakyat dan peniaga, walaupun berdepan krisis ekonomi, komoditi, kewangan, dan pandemik.
“Daya tahan, daya saing, dan kedaulatan ekonomi kekal terpelihara di bawah PM terdahulu. Namun ini kali pertama, di bawah PMX dan Kerajaan Madani, krisis ditangani tanpa hala tuju dan penyelesaian yang konkrit.
“Dalam hal ini, Pembangkang sedia untuk sidang khas Parlimen, bincang bersama, cari penyelesaian demi kebaikan rakyat dan negara. Kami sedia untuk bekerjasama,” katanya.
Tetapi katanya, jika hendak pilihan raya, PAS dan Perikatan Nasional (PN) telah lama bersedia, bahkan rakyat pun sudah tidak sabar menunggu bila tarikh pilihan raya.
“Orang Melaka lebih kenal siapa mereka. Dengar kata, penaja dan penderma pun sudah menjauhkan diri daripada DAP. Kepada Umno, sila buka gelanggang!
“Buktikan kalian bukan ‘pak turut’, tetapi pembela agama, bangsa, dan negara,” seru beliau yang juga merupakan Setiausaha Politik Presiden PAS. – HARAKAHDAILY 16/4/2026











