
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menzahirkan komitmen berterusan dalam memperkasa golongan usahawan meskipun berdepan cabaran ekonomi semasa dengan menyalurkan peruntukan melebihi RM1,090,169 bagi fasa pertama skim pembiayaan melalui Dana Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, bantuan itu disalurkan melalui Skim Pembiayaan Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) serta geran berkaitan bagi menyokong kelangsungan perniagaan kecil dan sederhana.
“Alhamdulillah walaupun keadaan ekonomi yang agak mencabar kami kerajaan negeri komited untuk meneruskan bantuan kepada peniaga-peniaga kecil yang ada ni yang memang mereka mengharapkan pinjaman.
“Jadi, salah satu tempatnya YPU kita masih ada tabung TUGAS yang walaupun kita kadang-kadang terfikir juga untuk berhenti tapi demi untuk membantu perniaga-perniaga kita teruskan juga dalam keadaan ekonomi sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada Peminjam kali Pertama 2026, di sini, hari ini.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan RM1,090,169 yang disalurkan, sebanyak RM1,079,000 diperuntukkan melalui skim TUGAS melibatkan 38 usahawan, manakala RM11,169 lagi diagihkan menerusi Geran DUIT dan Dana Prihatin Terengganu OKU (D-HATI)
kepada tiga penerima.
Katanya, sejak diperkenalkan pada 2019, skim TUGAS telah memberi manfaat kepada 6,696 usahawan di Terengganu dengan jumlah keseluruhan pembiayaan dan geran mencecah RM33.99 juta.
“Secara keseluruhan pula, jumlah pengeluaran pinjaman oleh YPU sejak 2002 hingga kini adalah sebanyak RM57.19 juta yang memberi manfaat kepada 8,374 usahawan di negeri ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat berkata, kerajaan negeri menyasarkan peruntukan antara RM3 juta hingga RM4 juta bagi tahun ini, bergantung kepada kemampuan kewangan semasa serta kadar bayaran balik peminjam sedia ada.
“Jika bayaran balik berjalan lancar, kita boleh menyalurkan semula dana kepada lebih ramai usahawan. Untuk fasa pertama ini, kita telah agihkan sekitar RM1 juta dan jika dilaksanakan dalam empat fasa, jumlahnya boleh mencecah RM4 juta,” katanya.
Beliau turut berharap para penerima pembiayaan dapat memanfaatkan bantuan yang diberikan sebaiknya serta menunaikan tanggungjawab bayaran balik bagi memastikan lebih ramai usahawan lain dapat dibantu pada masa akan datang.
“Kita mengharapkan supaya peniaga terutama yang hari ini mereka bayar balik untuk memberi peluang kepada rakan-rakan yang lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/4/2026











